Sarat Hamil 6 Bulan, Izreen Azminda Bimbang Isu Tertukar Bayi

Sejak kebelakangan ini, berita tentang tertukar bayi dilaporkan media membuatkan ibu-ibu hamil gusar.

Seperti yang terjadi kepada seorang usahawan kosmetik sebelum ini, yang kesal apabila bayi dibawa pulang bukan anaknya.

Malah satu lagi kes tertukar bayi kembar 20 tahun yang lepas menjadi tular sejak minggu lepas.

Kejadian seperti ini pastinya menjadi mimpi ngeri buat bakal ibu, dan tidak terlepas daripada perasaan ii adalah pelakon Izreen Azminda yang kini hamil enam bulan.

Menerusi perkongsiannya dengan portal mStar, Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam, 36, berpendapat selain pihak hospital, golongan ibu bapa juga perlu membuat pemeriksaan teliti sebelum pulang ke rumah membawa bayi mereka.

Menurut Izreen, sebagai ibu sepatutnya mengambil langkah berhati-hati kerana semua bayi yang baru dilahirkan nampak sama.

“Sebelum kejadian ini lagi saya dah pernah terfikir takut juga kalau tertukar baby… tapi bagi sebagai ibu, saya akan ambil langkah berhati-hati sebelum keluar hospital kena check betul-betul balik adakah betul yang ini anak kita.

“Memang setiap baby yang baru lahir memang nampak macam sama, tapi saya percaya sedikit sebanyak perbezaan yang kita sebagai ibu boleh tahu.”

Tambahnya lagi, kecuaian pastinya boleh berlaku tidak kira sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.

“Kecuaian boleh berlaku tak kira di hospital kerajaan atau swasta sebab dalam sehari bukan dia sambut anak kita seorang sahaja… jadi ini juga tanggungjawab ibu bapa untuk check betul-betul dan diharapkan kejadian macam ini beri pengajaran untuk semua,”

Terdahulu, tular kisah pasangan kembar seiras, Adryani Iwani Ibeni Yanin dan Noratirah Husin yang terpisah selama 20 tahun disebabkan kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital di Kelantan.

Mereka dipertemukan semula selepas terdapat beberapa ‘kebetulan’ yang mencurigakan sehingga membuatkan pasangan itu nekad melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan hasil keputusan menunjukkan kedua-duanya merupakan pasangan kembar yang sebenar.

Izreen yang bakal melahirkan anak ketiga pada September ini berkata buat masa ini dia masih belum mengetahui jantina kandungannya yang masih ‘menyorok’.

Namun, Izreen tetap berharap untuk mendapat anak perempuan untk kandungan ini.

“Dia masih tak tunjuk lagi sampai sekarang bila buat imbasan… sebenarnya memang saya berharap dapat baby girl kali ini tipulah kalau kata tak berharap.

“Tapi bila fikir balik, ada orang masih belum dikurniakan rezeki anak lagi, Tuhan dah bagi rezeki ini saya sepatutnya bersyukur, jadi saya tak kisahlah lelaki ke perempuan yang penting dia sihat dan tak tertukar dengan baby siapa-siapa,” katanya.

Sebelum ini nama Izreen Azminda sering disebut-sebut peminat hiburan apabila berkahwin dengan pemuzik Ude atau nama sebenarnya, Muhamad Radzi Abdul Wahid, 33.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos 2017 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Damansara, Selangor.

BACA: “Saya minta maaf tiga kali pada Intan.” – Izreen Azminda

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun. Izreen turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu, Muhammad Adrian Umar, 7 tahun.