Denda RM250 Tidak Kibar Jalur Gemilang, Tekankan Semangat Sambut Hari Kebangsaan

Menghitung hari, semakin hampir kita akan menyambut Hari Kemerdekaan tidak lama lagi. Sedia maklum, kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Memetik laporan Harian Metro, kompaun RM 250 akan dikenakan kepada premis-premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Hari Kemerdekaan akan datang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menyatakan bahawa denda tersebut bakal dilaksanakan bagi tujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan dan nilai kemerdekaan dan sekali gus menyemarakkan hari penting buat negara Malaysia itu.

“Petang ini kita akan mula edarkan 6,000 notis pemasangan bendera di premis-premis perniagaan di Ipoh.

“Selain itu, kita juga telah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar raya Ipoh.

“Kompaun sebanyak RM250 akan diberikan kepada premis yang tidak mematuhi arahan memasang Jalur Gemilang,” jelas beliau semasa ditemu ramah dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022.

Menurut Rumaizi, pihaknya juga akan mengambil langkah dengan menasihatkan pemilik premis yang tidak memasang Jalur Gemilang terlebih dahulu.

“Pendekatan itu tertakluk di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.

“Kalau (premis perniagaan) tak pasang (Jalur Gemilang), memang boleh dikompaun tetapi biasanya kita nasihat saja dan jarang kompaun. Masih ada toleransi di situ,” tambah beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya mengesyorkan semua penduduk haruslah mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini demi menyambut Hari Kemerdekaan yang akan menjelang nanti.

“Apa yang penting semangat dan jiwa kita untuk menyambut Hari Kebangsaan itu lebih utama.

“Bagi saya, ‘roh’ kita menyambut kemerdekaan juga penting. Kesedaran kita tentang apa itu kemerdekaan, perjuangan orang terdahulu untuk dapatkan kemerdekaan.

“Kemerdekaan itu, perlu ada satu rasa hormat antara satu sama lain. Kalau kita merdeka tetapi sikap masih lagi seperti sebelumnya, saya rasa kemerdekaan itu hanya satu majlis,” jelas Rumaizi.