IKEA Batu Kawan, Penang Jual 32,000 ‘Meatball’ Pada Hari Pembukaan!

Semua rakyat di Utara pastinya sudah tahu dan berpusu-pusu untuk pergi ke pembukaan hari pertama IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14 Mac lepas.

Rakyat Malaysia yang sudah sinonim dengan IKEA untuk barang perabot rumah dan juga menjadi tempat makan istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menurut Pathmalingam Arumugam, Pengurus IKEA Batu Kawan, dianggarkan lebih 32,000 meatball ataupun bebola daging berjaya dijual pada hari pertama pembukaan cawangan tersebut.

Malah, jualan karipap juga mencecah sehingga 23,600 biji pada hari yang sama. Hebat betul orang Utaqa!

Seramai 20,000 orang pengunjung dikatakan mula beratur seawal 7 pagi di hadapan IKEA Batu Kawan walaupun cawangan tersebut hanya mula beroperasi pada jam 10 pagi.

Ikano Pte Ltd, pemilik franchise IKEA di Singapura, Malaysia dan Thailand membina IKEA Batu Kawan di atas tanah berkeluasan 24 ekar  dan pembinaannya sudah pun siap.

Menawarkan lebih 8,000 produk, pusat yang menjadi antara satu-satunya gedung IKEA di wilayah utara itu menampilkan gaya baharu berkonsepkan ‘kehidupan di rumah’.

Oleh itu, selepas ini ia pastinya akan menjadi tumpuan semua orang yang berada di utara kerana ia merupakan satu-satunya cawangan di wilayah itu.

Dilengkapi 49 buah ruang pameran merentasi 470,135 kaki persegi, Ikea Batu Kawan, Penang itu memberikan sentuhan tempatan dari segi penyelesaian kelengkapan rumah yang sepadan dengan ruang kehidupan penduduk di wilayah utara.

IKEA Batu Kawan yang terletak di lokasi strategik turut memuatkan restoran dengan kapasiti 756 tempat duduk, 1,950 parkir serta bakeri.