Bawa Bahan Lucah Kanak-kanak Dalam Handphone, Lelaki Malaysia Ditahan di Australia

Seorang lelaki warganegara Malaysia telah ditahan di Australia berhubung dakwaan membawa bahan lucah eksploitasi kanak-kanak yang ditemui di telefon bimbitnya, lapor CNA.

Lelaki yang berusia 36 tahun itu ditahan oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada hari Jumaat, 15 Mac 2019.

(Photo: Australian Border Force)

Pegawai Imigresen Australia (ABF) menahan lelaki itu, yang belum dinamakan, untuk pemeriksaan bagasi selepas dia tiba dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, katanya dalam kenyataan akhbar.

“Semasa pemeriksaan pegawai, telefon bimbitnya didakwa mengandungi bahan yang menjijikkan, termasuk video yang menggambarkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak,” kata ABF.

Pegawai itu kemudian merampas telefon bimbitnya dan serta-merta membatalkan visa pelancongnya.

Suspek telah dituduh membawa barangan terlarang di bawah Akta Kastam Australia.

“Pengunjung harus sedar bahawa pemilikan bahan eksploitasi kanak-kanak sangat dipandang serius di bawah undang-undang Australia,” kata Pemangku Panglima Daerah ABF untuk Australia Barat, Emma Newman.

Suspek bakal berdepan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan / atau denda sehingga AUD 525,000 (~RM1.5juta)