Icha Akan Dibedah Esok, Ibu Mohon Doa Semua

Sebelum ini telah tular mengenai seorang bayi perempuan yang menghidap penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal pada leher atau kepala bayi.

Menurut laporan HMetro, bayi tersebut akan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) esok.

Icha atau nama sebenarnya Nur Falisya Mardina Fahme Ridzuan yang baru berusia 21 bulan akan menjalani pembedahan untuk membuang cecair yang menyebabkan lehernya membesar sejak lahir.

Ibunya, Nur Atekah Mohd Yusof, 23, berkata, perasaannya bercampur baur selepas doktor mengesahkan Icha akan menjalani pembedahan 10 pagi esok.

Nur Atekah dimaklumkan pembedahan itu mengambil masa antara lima hingga enam jam atau mungkin lebih.

Menurutnya lagi, Icha akan mula berpuasa seawal 5 pagi sebagai persediaan sebelum menjalani pembedahan.

“Icha akan mula berpuasa pada 5 pagi dan saya akui berdebar-debar menanti esok kerana memikirkan pembedahan yang berisiko dan mengambil masa lama.”

Nur Atekah mengakui sangat risau memandangkan pembedahan yang agak berisiko terpaksa dilalui anaknya itu.

Walaubagaimanapun, demi kesihatan Icha, Nur Atekah menguatkan semangatnya dan redha dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku.

“Demi kesihatan Icha kami kuatkan semangat, reda, terima apa saja kemungkinan dan mengharapkan pembedahan esok berjalan lancar tanpa sebarang masalah,”

Icha mula dimasukkan ke wad di HKL semalam dan anaknya itu tetap aktif seperti biasa.

“Icha aktif seperti selalu cuma malam saja dia merengek sedikit kerana mahukan ayahnya, dia sangat rapat dengan suami (Fahme Ridzuan Zulqarnil, 28).”

Malah menurutnya lagi, ada beberapa masjid yang akan mengadakan solat hajat khas buat Icha.

“Malam ini ada beberapa masjid seperti di Puchong, Selangor akan mengadakan solat hajat untuk Icha dan kami juga mohon bantuan orang ramai supaya mendoakan pembedahan esok lancar,” katanya yang memaklumkan suaminya mengambil cuti untuk menemani mereka.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan leher kiri Icha membesar dan mengandungi cecair atau air bisa dalam badan yang sepatutnya keluar melalui najis namun berkumpul di leher.

Semoga adik Icha selamat menjalani pembedahan dan cepat sembuh.