“Haziq je yang hidup?” 7 Sekeluarga Maut, Soalan Anak Yang Terselamat Buat Bapa Saudara Sebak

Tujuh orang sekeluarga dilaporkan terkorban dalam kecelakaan jalan raya yang membabitkan sebuah treler dengan Perodua Alza di Kilometer 5, Jalan Keramat Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Hasil siasatan mendapati Perodua Alza tersebut terbabas ke lorong bertentangan ketika turun dari Cameron Highlands menuju ke Kedah.

Muhammad Haziq yang berumur 9 tahun antara mangsa yang terselamat

Menerusi laporan Harian Metro, salah seorang mangsa terselamat adalah Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul berumur 9 tahun.

Menurut bapa saudara, Mohd Zakri, ketika ditemui wartawan memberitahu, sebaik sahaja terjaga Haziq terus bertanyakan di mana nenek dan ibu bapanya.

Tak sampai hati nak mengiyakan hanya dia terselamat

“Tak sampai hati saya nak mengiyakan hanya dia terselamat,” kata Mohd Zakri Mat Isa, 37, menceritakan keadaan anak saudaranya yang terselamat dalam nahas berkenaan.

Ujar Mohd Zakri lagi, dia tidak tergamak untuk memberitahu apa yang berlaku kepada Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, yang dirawat di Zon Kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Muhammad Haziq telah kehilangan ibu bapanya iaitu Mohd Zairul Mat Isa, 34, dan Nuratiqah Abd Hamid, 30, selain adik perempuannya, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4.

Muhammad Haziq terjaga pada pukul 5 pagi tadi 

Turut terkorban ialah sepupu Mohd Zakri iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta suami, Zulkifli Shuib, 41, di samping ibunya, Fatimah Mat Isa, 68.

Mohd Zakri berkata, kira-kira 5 pagi tadi, Muhammad Haziq Zikri terjaga sambil bertanya di mana nenek dan ibu bapanya ketika itu.

Paklang, kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup

“Saya tak sanggup mengiyakan bila dia bertanya kepada saya: “Paklang, kiranya Haziq seorang sajalah yang hidup?”

“Kemudian saya tanya dia (Haziq) siapa memberitahunya”.

“Katanya ‘Cik Sara’ iaitu makciknya yang beritahu ibu bapa serta adiknya maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Dua keluarga dalam perjalanan pulang dari bercuti

Kejadian berlaku ketika dua sekeluarga itu yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan pulang dari bercuti di Cameron Highlands.

Ujarnya lagi, dua keluarga itu sememangnya jarang berjalan jauh untuk melancong dan selain bermalam semalaman di Cameron Highlands sehari sebelum kejadian.

Selain itu, mereka sempat juga berkunjung ke Pulau Pangkor dan bermalam di pulau itu semalaman bermula Ahad lalu.

Arwah Mohd Zairul dan isteri baru menyambut ulang tahun perkahwinan

“Selalunya mereka hanya bercuti di kawasan yang dekat dengan kampung di Serdang, Kedah seperti Pulau Pinang”.

“Tidak pasti menyambutnya di mana namun memang arwah Mohd Zairul dan isterinya baru menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 Ogos lalu”.

“Malah kereta yang dinaiki mereka pun kereta yang dipinjam dari kenalan. Saya tahu mengenai nahas itu 7.30 malam melalui kakak kepada Hasliza yang menyedari insiden itu melalui berita di media massa,” katanya.

Ibu meninggalkan pesanan kepada kami

Sementara itu, ibunya Fatimah yang turut maut dalam kemalangan itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh selain daripada sempat tidur bersama cucu-cucunya di rumahnya serta rumah abang ketika menyambut Aidiladha lalu.

“Ibu juga kelihatan sentiasa ceria sejak kebelakangan ini. Ada juga dia meninggalkan pelbagai pesanan kepada kami,” katanya.

Jenazah akan disemadikan dalam satu liang lahad

Dia berkata, jenazah tujuh sekeluarga itu akan dihantar pulang ke Kampung Badlishah, Serdang, Kedah, selepas selesai proses bedah siasat dan akan disemadikan dalam satu liang lahad.

Difahamkan mangsa lain yang cedera adalah Haziq Zikri yang terselamat patah tangan kanan.

Selain itu, dua beradik iaitu anak kepada Hasliza, iaitu Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit berusia 16 tahun, cedera parah.

Salam takziah buat keluarga mangsa nahas dan semoga keluarga tabah menghadapi kehilangan ini.