Hanya Kerana RM290, Guru Mengaji Dibunuh & Mayat Dicampak Dalam Perigi

Malang bagi seorang wanita yang juga guru mengaji apabila ditemui mati tanpa seurat benang di dalam perigi berdekatan dengan rumahnya.

Menerusi laporan Kompas, kejadian ini telah berlaku di Bogor, Indonesia pada Selasa lepas, 3 November 2020.

Dilaporkan hilang beberapa hari sebelum

Beberapa hari sebelum tragedi itu, mangsa telah dilaporkan hilang pada Ahad, 1 November 2020, selepas menghadiri program Maulid Nabi Muhammad SAW di Masjid Khadijah Ibrahim.

Menurut seorang tukang paip, Mulyadi, 42, yang diminta suami mangsa untuk memeriksa periginya kerana mengadu air berbau bangkai, dia pasti ada mayat manusia di dalamnya.

“Selepas saya buka penutup perigi dan periksa di bawah, rupa-rupanya ada mayat manusia.

“Saya yakin itu adalah mayat mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya yang kemudian memaklumkan penemuan itu kepada tuan rumah dan pihak polis.

Berang diminta langsaikan hutang

Susulan penemuan mayat Athiqotul Mahya, 28, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 34 tahun.

Siasatan awal polis mendapati, suspek adalah suami kepada pembantu mangsa, mengaku membunuh wanita itu kerana berang dengan mangsa yang kerap menagih hutangnya sebanyak Rp1,000,000 (RM287).

Jumlah keseluruhan RM290

Suspek juga difahamkan bekerja sebagai pemandu kenderaan sewa untuk menyara hidup dan sebelum ini suspek pernah meminjam wang daripada mangsa sebanyak Rp500 ribu (RM143) sebanyak dua kali dan jumlah keseluruhan hutangnya adalah Rp1 juta.

Mangsa kerap menuntut suspek membayar hutang itu kerana suspek tidak menepati janjinya untuk membayar hutang tersebut.

Namun suspek langsung tidak berusaha membayar hutangnya, malah meminta untuk ditangguhkan beberapa kali.

Pukul dan pijak mangsa

Pada hari kejadian, suspek yang berang dengan kekerapan mangsa menagih hutang itu bertindak membunuhnya pada malam Ahad, 1 November 2020, ketika mangsa baru sahaja pulang dari menghadiri program Maulid Nabi Muhammad.

Suspek memukul dan memijak mangsa sehingga menyebabkan lehernya patah.

Setelah dibunuh, mayat ibu kepada dua anaknya yang masih kecil itu dicampak ke dalam perigi yang berada berdekatan dengan rumah majikan isterinya itu.

“Motif kejadian kerana suspek berasa sakit hati dengan mangsa yang selalu menagih hutangnya bernilai Rp1 juta. Suspek meminjam wang itu untuk keperluan kereta sewanya kerana dia bekerja sebagai pemandu,” kata Ketua Polis Daerah Cibinong, Kadek Vemil.

Mangsa meninggalkan suami dan dua orang anaknya yang masih kecil berusia 3 tahun dan beberapa bulan.