Hanya Kerana Berambut Panjang, Jurumandi Jenazah Dicemuh Tak nampak Islamik

Sebagai umat Islam telah menjadi tanggungjawab kita dalam menguruskan jenazah saudara seagama.

Oleh itu, Skuad Pengurusan Jenazah-SPJ Malaysia telah menjalankan Fardu Kifayah tersebut demi membantu mereka yang memerlukan.

Kecewa dikutuk kerana berambut panjang

Menurut Pihak Pengurusan Jenazah-SPJ Malaysia, mereka meluahkan sedikit rasa kecewa kerana ada yang mempertikaikan tentang penampilan ahli skuad mereka yang terlihat kurang ‘Islamik’.

Walaubagaimanapun, disebalik penampilannya yang berambut panjang, ahli skuad tersebut adalah jurumandi jenazah.

Juga merupakan seorang Al-Hafiz

Menurut pengendali Facebook SPJ lagi, mereka sengaja mengetengahkan ahli skuad berpenampilan seperti ini.

Dia merupakan seorang Al-Hafiz yang pernah menuntut di Yaman dan sedang berkhidmat di salah sebuah madrasah di Kuala Lumpur.

Hanya disebabkan penampilannya yang berambut panjang, pemuda yang bernama Nsrul Chan itu telah dicemuh oleh sesetengah pihak tanpa mengetahui latar belakangnya.

Suci dalam debu

“Ada satu pihak yang tidak berpuas hati dengan ahli skuad kami ini. Kesalahannya di mata mereka adalah kerana dia berambut panjang dan tidak memakai songkok atau kopiah seperti mereka”.

“Katanya penampilannya langsung tidak menunjukkan imej sebagai seorang juru mandi jenazah”.

“Mungkin bagi mereka penampilan seorang juru mandi jenazah haruslah berserban dan berjubah sepanjang masa, atau bersongkok dan berbaju batik seperti seorang tokoh korporat lagaknya”.

Usah terpedaya tuan-tuan

“Hari ini ramai yang berwajah suci tapi dalamannya berdebu. Kadang luarannya nampak warak, rupanya dialah pembohong, pembelit dan penipu”.

“Ada juga yang berkopiah atau bersongkok sentiasa di kepala, rupanya kaki perempuan dan pengikis harta si isteri”.

“Kalau begini gayanya, lebih baik mereka yang nampak jahat wajahnya, rambut panjang berjela, muka bengis sentiasa. Tapi dalamannya punya hati yang tulus dan ilmu yang penuh di dada”.

Dicemuh hanya kerana penampilannya

“Saya sengaja ketengahkan ahli skuad kami yang berambut panjang ini. Sebab hari ini dia dicemuh kerana penampilannya tidak sesuai sebagai seorang tukang mandi jenazah menurut mereka yang berwajah suci”.

“Sebenarnya siapa pun kita, yang berhak menilai hanyalah Allah. Begitu ramai orang yang bermasalah dan dipandang seolah ahli neraka tetapi sangat berusaha untuk menjadi ahli syurga”.

“Begitu ramai juga ahli syurga kononnya tapi hakikatnya talam dua muka. Kesudahannya kelak hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui”.

Si rambut panjang ini seorang pemuda bakal bergelar Al Hafiz

“Si rambut panjang ini seorang pemuda bakal bergelar ‘Al-Hafiz’. Dia pernah menuntut di Yaman. Sekarang berkhidmat di sebuah madrasah di Kuala Lumpur. Namanya Nsrul Chan”.

“Oleh kerana gemar berambut panjang, insan ini dicemuh oleh mereka yang berwajah suci dalam debu”.

“Ramai ahli skuad kami yang bukan berlatarbelakangkan lulusan agama, namun mereka sentiasa mengejar pahala berkebajikan”.

Kerana mereka tahu soal halal dan haram

“Mereka tidak pernah menipu status diri mereka. Tidak pernah malu mengaku pekerjaan sebenar mereka”.

“Tidak pernah curang dengan pasangan mereka. Tidak pernah mengambil harta yang bukan hak mereka. Kerana mereka tahu tentang soal halal dan haram”.


“Rakan gabungan NGO kami pun bekas kepala yang nakal juga. Misalnya Unit Khas Van Jenazah. Siapa yang tak kenal gangster Klang ni”.

Mereka mencari keredhaan Ilahi

“Tapi mereka boleh berpatah kembali untuk mencari keredhaan Illahi. Walaupun teruk dikecam masyarakat kerana penampilan mereka, sekurangnya mereka mempunyai hati yang tulus untuk mengubah diri”.

“Siapa kita untuk menghukum mereka? Sedarlah betapa ramai para pendosa yang akhirnya layak ke Syurga Allah kerana taubat mereka”.

“Berapa ramai juga ahli ibadat yang tersungkur ke lembah neraka kerana masalah hatinya. Allah Maha Mengetahui”.

Lahirkan golongan boleh berkhidmat tanpa mengira latar belakang

“Ini adalah satu tuntutan fardhu kifayah. Tujuan saya menubuhkan skuad ini adalah bagi melahirkan seramai mungkin golongan yang boleh berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka”.

“Pun demikian ada juga yang menjadikan landasan ini bagi mengaut keuntungan duniawi yang cuma sementara”.

“Sedarlah terkadang rezeki yang kita terima itu bukanlah rezeki sebenar. Bimbang ia adalah satu hukuman dari Allah berbentuk istidraj”.

Pesanan buat semua

Oleh itu, pengendali cuba menjernihkan keadaan dengan menanyakan sama ada satu masalah andai mengajak orang yang pernah ‘nakal’ berbuat kebaikan setelah mereka insaf.

Malah, dia juga meninggalkan sedikit pesanan supaya tidak menghukum orang lain sesuka hati kerana kita tidak tahu masa depan seseorang itu seperti mana.

Ramai hanya pandang pada luaran

Rata-rata warganet turut meninggalkan komen diruangan Facebook sumber dengan menyertakan kata-kata semangat agar SPJ tidak termakan dengan kecaman negatif.

Semoga skuad mereka terus menabur bakti kepada masyarakat dan diharap orang ramai dapat mengambil iktibar dari perkongsian ini.