Hanya Anak ‘Berbapakan’ Warganegara, Layak Mendapat Kerakyatan Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak akan memberikan kewarganegaraan atau kerakyatan dengan mudah kepada seseorang individu.

Memetik laporan Siakap Keli, hanya kanak-kanak yang lahir di luar negara berbapakan warganegara Malaysia sahaja layak mendapatkan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, berikut merupakan kata putus Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya, jika kanak-kanak tersebut lahir di luar negara beribukan warganegara Malaysia sahaja, kanak-kanak itu tidak layak mendapatkan kerakyatan.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said menyatakan bahawa alasan penghakiman bertulisnya bagi keputusan majoriti 2-1 pada Jumaat lalu, memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi berkahwin dengan warga asing, maka kanak-kanak tersebut tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Menurut beliau, perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada hanya bapa sahaja, tidak termasuk ibu.

Oleh hal demikian, kenyataan berkenaan bermaksud ia menghalang status kerakyatan Malaysia diwariskan kepada anak jika ibunya sahaja yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia dan berkahwin dengan warga asing.

Kamaludin turut memaklumkan bahawa melalui penggubalan Perlembagaan Persekutuan, kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang bagi kanak-kanak yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia harus mengikut ‘status bapa’.

“Pada pandangan saya, mahkamah tidak sepatutnya mempertikai kenapa undang-undang itu digubal atau sama ada Parlimen telah mengambil memutuskan untuk menggubal undang-undang itu namun tugas mahkamah ialah mentafsir undang-undang yang digubal dengan sewajarnya,” jelasnya.

Menerusi kenyataan Kamaludin, remedi bagi ibu warganaegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk mendapatkan status kerakyatan bagi anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara diperuntuk di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memaklumkan bahawa aduan para ibu bukanlah mengenai undang-undang sedia ada iaitu Perkara 15 (2) yang memperuntuk remedi kepada mereka untuk memohon status kerakyatan bagi anak mereka.

Sebaliknya remedi tersebut diadakan adalah terhadap pihak berkuasa yang meluluskan atau sistem yang digunakan ketika ini.

“Sistem itu boleh diperbaiki atau diubah. Saya setuju isu ini perlu ditangani oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” ulas Kamaludin mengenai isu tersebut.

Kamaludin turut memberikan pandangannya terhadap isu ini, Mahkamah Tinggi sedang menulis semula undang-undang berkaitan pemberian status kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar Malaysia.

Ia mengguna pakai undang-undang sedia ada dan dasar yang telah berkuat kuasa untuk mencari remedi kepada aduan para ibu dengan mentafsirkan bahawa perkataan ‘bapa’ juga boleh merujuk kepada ibu.

Jumaat yang lalu, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Menerusi perbincangan di mahkamah, Kamaludin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kanak-kanak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia manakala Hakim Datuk S. Nantha Balan menentang.

Rayuan yang dibuat itu juga membabitkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) bersama enam lagi wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Dalam rayuan mereka, mereka memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah agar semua agensi kerajaan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia mengeluarkan dokumen berkaitan kerakyatan (seperti pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.


Pada hari yang sama, panel tersebut telah menolak rayuan seorang wanita bernama Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, 24, mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2020 yang menolak samannya untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa beliau berhak menjadi rakyat Malaysia dan mendapatkan kerakyatannya.

Berdasarkan alasan penghakimannya, Kamaludin memaklumkan bahawa proses Parlimen adalah cara yang lebih baik untuk menyelesaikan isu yang membabitkan persoalan kontroversial dan rumit yang dicetuskan oleh dilema moral serta sosial.

Kamaludin juga menyatakan bahawa Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak melakukan diskriminasi jantina terhadap wanita.

Manakala dalam penghakiman minoriti yang memihak kepada para ibu terbabit, Nantha Balan berkata adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk mengatakan bahawa tidak ada diskriminasi terhadap ibu warganegara Malaysia yang tidak dapat mewariskan kerakyatannya kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.