Hantu Kak Limah Pecah Rekod RM1.8 Juta Tayangan Hari Pertama

Filem terbaru arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah pecah rekod setelah berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang meraih kutipan tertinggi pada hari pertama tayangan.

Filem lakonan aktres Delimawati sebagai Kak Limah itu berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM1.8 juta pada hari pembukaan semalam.

Kutipan tersebut menobatkan Hantu Kak Limah sebagai filem yang menerima kutipan tertinggi pada hari pembukaan sekaligus mencatatkan rekod baharu dalam industri filem Malaysia.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan memberitahu, filem tersebut turut memperoleh kutipan berjumlah RM650,000 pada hari tayangan awal atau sneak preview.

Antara watak baru yang ada dalam sekuel Hantu Kak Limah ini adalah Ropie Cecupak dan Zul Ariffin.

Sinopsis Hantu Kak Limah:

Filem ini mengisahkan tentang Husin yang kini sudah menetap di Kampung Pisang dan kini bekerja di kilang arang bersama rakan-rakan baiknya iaitu Yeh Sekupang, Wani dan Khuda. Ditakdirkan Khuda berkahwin dengan Kak Limah dan hidup bahagia namun satu kejadian misteri berlaku apabila Kak Limah telah ditemui mati dengan keadaan yang cukup menakutkan. Bermula daripada hari dimana mayat Kak Limah ditemui, seluruh penduduk Kampung Pisang mula diganggu oleh kelibat hantu Kak Limah. Jadi, Yeh Sekupang membawa Husin dan rakan-rakan yang lain untuk meminta bantuan kepada Encik Solihin yang merupakan seorang guru silat dan dikatakan mempunyai kemahiran menghalau hantu untuk menghentikan gangguan hantu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu dan seram mula berlaku terhadap penduduk Kampung Pisang sepanjang mereka cuba menyelesaikan misteri kematian dan gangguan hantu Kak Limah ini. Untuk mengetahui punca sebenar gangguan hantu Kak Limah, jangan lupa saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda.

Siapa yang masih belum menonton filem Hantu Kak Limah ini, boleh layan trailer Hantu Kak Limah dulu.