Hang Jebat Didakwa ‘Derhaka’, Hang Tuah Failkan Saman

Dua anak kepada pelakon legenda, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menfailkan saman terhadap waris bapa mereka atas dakwaan pemalsuan surat kuasa pemindahan hak milik melibatkan sebidang tanah bernilai RM2.75 juta yang terletak di Ulu Kelang kira-kira empat tahun lalu.

Saman itu difailkan Jeffrey sebagai plaintif pertama dan Hang Tuah@Shazrin sebagai plaintif kedua terhadap tiga defendan menerusi tetuan Baharuddin Iskandar di Mahkamah Tinggi Shah Alam di Selangor pada 3 Januari lalu.

Tetuan Baharuddin Iskandar menamakan anak ketiga Jins, Putera Hang Jebat, 32, sebagai defendan pertama, peguam, Rosal Azimin Ahmad sebagai defendan kedua dan pembeli Barakatul Kamaria Ahmad sebagai defendan ketiga.

Mengikut fakta kes, kesemua defendan didakwa terlibat dengan pemalsuan surat dokumen hak milik sebidang tanah seluas 0.26 hektar yang terletak di GM63 Lot 1045, Batu 7 1/2, Kampong Pasir di Ulu Kelang milik Jins pada tahun 2015.

Hang Jebat didakwa telah memalsukan dokumen surat kuasa tanah berkenaan sehingga membolehkan tanah itu dijual kepada defendan ketiga kira-kira empat tahun lalu.

Kes dikendalikan Peguam, Mohd. Iskandar Ismail dan Nur Syahirah Mohd. Sani mewakili plaintif

Dalam tuntutan saman berkenaan, plaintif telah memohon kepada mahkamah untuk deklarasi pembatalan surat kuasa wakil terbatal dan diklasifikasikan sebagai tidak sah.

Dalam saman yang sama, plaintif turut mendakwa pindahmilik hartanah tersebut terhadap defendan ketiga sebagai tidak sah dan memohon ganti rugi sewajarnya mengikut ketetapan mahkamah.

Plaintif berpendapat sebagai waris kepada Jins, mereka berhak mendapatkan pampasan berdasarkan harga terkini pasaran hartanah berkenaan.

Peguam, Mohd. Iskandar berkata, anak guamnya, Hang Tuah terpaksa membawa kes berkenaan ke mahkamah selepas gagal mendapat kerjasama daripada kesemua defendan.

Katanya, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 7 Februari depan.

Allahyarham Tan Sri Datuk (Dr.) Jins Shamsuddin (5 November 1935 – 1 Mac 2017) merupakan seorang pelakon, penggiat seni, pengarah filem serta senator Malaysia.

Atas bimbingan Tan Sri P. Ramlee, beliau telah berjaya menjadi seorang pelakon yang terkenal sejak tahun 50-an.

Nama beliau kini terpahat sebagai legenda yang masih gigih menyumbangkan usaha dan tenaganya dalam pembangunan industri filem Melayu sepanjang hayatnya.