Gunung Berapi Lumpur Dilapor Meletus Di Lahad Datu, Pemandu Pelancong Akui Bukan Kali Pertama Berlaku

Gunung berapi menyimpan lava yang terkandung di dalam perut bumi dan ianya boleh dimuntahkan dalam tempoh tertentu yang tidak diketahui. Bagaimana pun, ada sesetengahnya yang dikatakan sudah tidak aktif.

Terbaru, tular satu video yang memaparkan kejadian gunung berapi lumpur. Ia dipercayai berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh @utusantvofficial di TikTok, dapat kita lihat cairan yang dipercayai lumpur keluar dari bawah tanah dan memenuhi ruangan di sekeliling kawasan berkenaan.

Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays, Lawrence Chin berkata, kejadian semalam disaksikan kira-kira lapan individu termasuk pelancong serta pemandu pelancong.

“Ada pemandu pelancong dan pelancong dalam perjalanan untuk memerhati burung dan melawat kawasan sekitar, tiba-tiba berlaku letusan kuat dan buih-buih keluar, kejadian berlaku kira-kira 10 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, pemandu pelancong Hamit Suban, 43, menyaksikan kejadian itu pada 10 pagi ketika membawa beberapa pelancong asing memulakan lawatan ke dalam kawasan hutan Tabin.

“Program pertama kami selepas bersarapan adalah melawat kawasan gunung berapi lumpur di dalam kawasan Tabin, saya membawa sekumpulan pelancong dari Amerika Syarikat dengan berjalan kaki sejauh 700 meter ke lokasi berkenaan.

“Ketika kami naik ke menara pemerhati untuk melihat burung dan haiwan lain, tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati berlaku letusan lumpur di kawasan itu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong sejak 2005 di Borneo Eco Tours Kinabatangan dan menambah kejadian itu merupakan pertama kali disaksikan

Selain itu, pemandu pelancong dari Tabin Wildlife Resort, Amrafel Marang, 42, yang sudah 23 tahun bekerja di kawasan itu berkata lumpur terbabit cukup kaya dengan sumber mineral, sehingga menarik kehadiran haiwan ke tempat berkenaan.

“Letusan ini bukan pertama kali, ia pernah berlaku pada 2014 dan 2019, cuma kali ini ia sempat dirakam berbanding sebelum ini,” katanya.

Difahamkan ianya bukanlah satu perkara baharu di sabah susulan kawasan yang dikesan wujud gunung berapi lumpur ialah di Kampung Tanjung Aru, Menumbok dan di Kampung Tenambak yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Kampung Tanjung Aru, Kunak dan Tabin di Lahad Datu di kawasan Pantai Timur.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen berharap agar tiada bencana alam yang lebih serius dan dijauhkan dari segala mara bahaya.

Antara komen warga maya:


Video yang tular di laman TikTok:

@utusantvofficial #SABAH Kejadian dirakam kira-kira pukul 10.05 pagi tadi. 📽️ Sbn Hamit #trendingnewsmalaysia #fyp #beritaditiktok ♬ original sound – UtusanTV

@utusantvofficial Replying to @kamarul3936 . PART 2. Ini sambungan, video asal pendek2 sahaja 😁. 📽️ Sbn Hamit. #beritaditiktok #fyp #trendingnewsmalaysia #SABAH ♬ original sound – UtusanTV