Korea Selatan Sahkan Alami Gelombang Kedua COVID-19

Korea Selatan menerusi pihak berkuasa kesihatan percaya bahawa negara itu kini sedang mengalami gelombang jangkitan Covid-19 yang kedua.

Sebelum ini, Korea Selatan pernah menjadi sebutan dunia dengan kejayaannya menangani wabak Covid-19, namun kini terpaksa berhadapan dengan ancaman wabak yang bakal berlanjutan selama berbulan-bulan.

Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Korea (KCDC), Jung Eun-kyeong, menyatakan bahawa gelombang pertama telah berakhir pada bulan April lalu.

Namun sejak Mei, kluster jangkitan baharu dilihat semakin bertambah, ini termasuk jangkitan yang tercetus di kelab malam di ibu kota, Seoul.

Di antara tempoh tersebut, kes yang dicatatkan setiap hari telah menurun dari hampir seribu menjadi sifar jangkitan selama tiga hari berturut-turut.

Pihak berkuasa Korea Selatan pada Isnin telah menyatakan bahawa dalam 24 jam terakhir, 17 jangkitan baru telah direkodkan, dari kelompok berlainan yang dikesan di pejabat dan gudang besar.

Dr Jeong berkata, kemunculan kes-kes baru ini telah membuatnya menyimpulkan bahawa negara itu kini sedang berada dalam gelombang wabak kedua, di mana dia menjangkakan ianya akan berlanjutan.

Sehingga kini, KCDC telah menyatakan bahawa gelombang pertama wabak Covid-19 di Korea Selatan tidak pernah berakhir.

Tetapi Dr Jeong menyatakan bahawa segalanya sudah jelas bahawa cuti hujung minggu pada awal Mei menandakan permulaan gelombang jangkitan baharu yang tertumpu di wilayah Seoul dengan skala yang lebih besar.

Isnin lalu, bandar Daejeon, telah mengumumkan bahawa mereka mengenakan larangan terhadap orang ramai yang ingin berkumpul di kawasan awam seperti muzium dan perpustakaan susulan kluster baharu jangkitan dikenal pasti di bandar tersebut.

Datuk Bandar Seoul juga turut memberi amaran bahawa bandar tersebut mungkin akan kembali dengan peraturan penjarakan sosial yang ketat sekiranya kes jangkitan secara harian melebihi 30 kes dalam tiga hari berturut-turut serta jumlah penggunaan katil di hospital di bandar itu melebihi 70%.

Korea Selatan telah berjaya membendung penularan wabak itu dengan hanya mengamalkan penjarakan sosial secara sukarela di samping menyusun strategi yang agresif seperti melakukan pengesanan dan ujian tanpa melakukan perintah berkurung seperti kebanyakan negara lain.

Seramai 280 orang telah meninggal dunia sejak negara ini melaporkan kes pertamanya pada 20 Januari.

Secara keseluruhan, lebih daripada 12,999 jangkitan telah direkodkan dan dianggarkan pada masa ini terdapat 1,277 kes aktif yang dikesan di seluruh negara itu.