Gandakan Pahala di Bulan Ramadhan Dengan 7 Amalan Mudah Ini

Bulan ramadhan merupakan bulan yang ditunggu oleh semua umat Islam. Banyak amalan yang digalakkan untuk kita lakukan dibulan ramadhan bukan sahaja terhad kepada berpuasa.

Selain itu, bulan yang penuh keberkatan ini kita digalakkan untuk kekal cergas dan sihat bagi membolehkan kita mengejar ganjaran bagi amalam yang dilakukan sepanjang dibulan Ramadhan ini.

Terdapat banyak amalan sunnah dibulan Ramadhan yang membantu kita menghidupkan lagi atau menambah keimanan seorang hamba kepadaNya. Rebutlah peluang ini sepanjang dibulan Ramadhan.

7 Amalan Sunnah Yang Boleh Dilakukan Sepanjang Bulan Ramadhan.

Ini merupakan 7 amalan yang boleh kita amalkan dibulan Ramadhan:

1. BANGUN SAHUR

Bangun bersahur bukan saja membantu kita mengisi tenaga untuk persediaan berpuasa, tetapi ia juga adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:

Bersahurlah kalian, karena pada sahur itu ada keberkatan.” (HR. Bukhari)

Disamping itu, terdapat sedikit masa sementara kita mahu menunggu azan Subuh dan anda boleh melakukan beberapa amalan seperti solat sunat tahajud dan membaca Al-Quran.

Jika anda terlewat bangun sahur dan hanya tinggal beberapa minit untuk habis waktu anda masih boleh bersahur dengan kurma. Kurma mempunyai khasiat yang tinggi untuk membantu anda bertahan lama ketika anda berpuasa. Jadi anda tidak perlu terlalu risau jika anda terlepas untuk menyediakan juadah bersahur.

2. AMALAN MEMPERBANYAKKAN DOA

Menurut salah satu sumber oleh Mufti Wilayah Persekutuan, doa orang-orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah kerana orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa apabila mereka berpuasa kerana Allah.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (HR Ibn Majah)

Oleh yang demikian, marilah kita menggunakan kesempatan yang ada sepanjang bulan Ramadhan ini untuk mengecapi tawaran yang amat berharga daripada Allah. Berikut adalah doa yang amat dianjurkan, terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadhan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Mengasihi untuk Mengampun, Maka ampunilah diriku.”

3. AMALAN BERSEDEKAH / MEMBERI MAKAN ORANG BERBUKA

Amalan bersedekah juga merupakan satu amalan yang bagus untuk diamalkan. Selain kita berkongsi rezeki dengan yang memerlukan ia mampu membuatkan kita lebih mensyukuri nimat yang diberi.

Jika kita lihat ramai yang bersedekah sepanjang bulan Ramadhan. Terdapat banyak majlis berbuka puasa yang dianjurkan untuk anak-anak yatim, golongon yang kurang berkemampuan dan pelbagai sumbangan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Nabi SAW adalah seorang insan yang paling pemurah, malah Baginda adalah lebih pemurah sewaktu bulan Ramadhan. Dalam salah satu hadis ada menyebutkan tentang keutamaan memberi makan untuk orang berbuka.

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (HR Nasa’i dan Tirmidzi)

4. ANDA MENYEGERAKAN WAKTU BERBUKA

Anda digalakkan untuk menyegerakan waktu berbuka puasa. Ini tentunya merupakan salah satu sunnah yang mudah untuk kita lakukan.

Jangan lupa meniatkan menyegerakan berbuka kerana ianya adalah salah satu amalan sunnah.

Seperti sabda Baginda melalui sebuah hadis:

Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Menurut riwayat, Rasulullah akan berbuka puasa dengan beberapa butir kurma muda (ruthb atau kurma basah) sebelum melakukan solat (Maghrib).

Jika tidak menemukan beberapa kurma muda, maka Baginda berbuka dengan beberapa butir kurma matang (tamr atau kurma kering). Jika tidak menemukannya juga, maka Baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

5. SALING MENGINGATKAN KEPADA KEBAIKAN

Kita berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga untuk mengawal nafsu daripada melakukan perkara keburukan. Dengan adanya media sosial pada hari ini, kita cenderung menyebarkan berita yang diketahui kebenarannya.

Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan mengamalkannya maka Allah sudah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makanan dan minumannya.” (HR Bukhari)

Oleh yang demikian, latihlah diri untuk kita melatihdiri di bulan puasa sebagai titik tolak agar kita lebih berhati-hati dalam menekan butang share.

Pilihlah konten yang baik dan bermanfaat untuk disebarkan kepada rakan-rakan anda kerana secara tidak langsung kita juga dapat saling mengingatkan antara satu sama lain.

6. ANDA PERLU BERUSAHA MENAHAN MARAH

Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).” (HR Bukhari)

Dari hadis ini kita juga dianjurkan agar seorang yang berpuasa sentiasa bersabar dengan menjaga emosi dan menahan diri daripada menghamburkan kata-kata cacian.

7. MARILAH KITA MENGHIDUPKAN 2/3 MALAM

Seperti yang diketabui umum, sepanjang bulan Ramadhan inilah Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadr, di mana segala amalan akan dilipatgandakan pahalanya sebanyak 1000 bulan.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari).

Amalan-amalan ini jika kita mampu lakukan kita pasti mendapat ganjaran yang besar dan kita berjaya memanfaatkan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Jika sebelum ini kita sukar untuk bangun malam dan beriktikaf, inilah waktu yang paling tepat untuk memulakannya walaupun dengan sekecil-kecil amalan. Selamat beramal.