[VIDEO] Fenomena ‘Ajaib’ Hari Tanpa Bayang Di Indonesia Terjadi Dua Kali Setahun

Seperti yang kita pelajari dari zaman persekolahan lagi, bayang-bayang terhasil daripada cahaya yang tersinar dari sesuatu punca terhalang dalam laluan melurus daripada mengena sesuatu permukaan atau benda yang legap.

Jika sumber cahaya memancar lemah ia adalah akibat halangan daripada persekitaran seperti matahari pada hari berawan dan bayangan yang terhasil juga tidak ketara.

Ini menunjukkan cahaya itu bergerak lurus dan apabila dihalang oleh manusia maka terhasil lah bayang-bayang.

Namun fenomena pelik yang terjadi di Indonesia ini hangat diperkatakan dan ia dipanggil ‘Hari Tanpa Bayang’ yang dijangka akan berlarutan sehingga bulan Oktober.

Difahamkan semasa fenomena ini terjadi, apa-apa objek legap yang dibiarkan di bawah sinar matahari tidak dapat menghasilkan bayang-bayang macam yang selalu kita lihat.

Menurut peneliti dari Lembaga Penerbangan dan Angkasa Nasional (LAPAN) Indonesia, Andi Pangerang, fenomena ini akan terjadi dua kali setahun di wilayah yang terletak di antara dua garis.

“Fenomena hari tanpa bayangan ini selalu terjadi dua kali setahun untuk kota-kota atau wilayah yang terletak di antara dua garis,”

Untuk pengetahuan semua, dua garis yang dimaksudkan adalah Garis Balik Utara (Tropic of Cancer; 23,4 derajat Lintang Utara) dan Garis Balik Selatan (Tropic of Capricorn; 23,4 derajat Lintang Selatan).

“Kawasan yang terletak di Utara akan mengalami fenomena Hari Tanpa Bayang pada bulan Jun, manakala di bahagian Selatan pada bulan Disember,”

Manakala bagi wilayah dan kota-kota yang terletak tepat pada Garis Balik Utara dan Garis Balik Selatan hanya akan mengalami hari tanpa bayangan Matahari sekali dalam setahun.

“Di luar ketiga wilayah tersebut, Matahari tidak akan berada di Zenit ketika tengah hari sepanjang tahun, melainkan agak condong ke Selatan untuk belahan Bumi Utara maupun agak condong ke Utara untuk belahan Bumi Selatan,” ujar Andi.

Untuk tahun ini, posisi Matahari di atas Indonesia yang pertama sudah terjadi sejak akhir Februari hingga awal April yang lalu.

Tambahan lagi, fenomena ini juga boleh menjadi tanda untuk melihat semula arah kiblat secara lebih tepat kerana kita dapat melihat cahaya matahari dari satu sudut sahaja.