Gadis Campak Bayi Luar Nikah Dari Tingkat 4 Rumah Flat

Seorang pembantu kedai tergamak mencampak bayi perempuannya yang baharu dilahirkan dari tingkat empat rumah yang didiaminya.

Kejadian tersebut berlaku di Flat Blok Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, di sini, pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, kejadian itu disedari seorang penghuni flat terbabit pada jam 8 pagi selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya.

Sebuah beg berisi bayi yang cukup sifat.

Apabila keluar dia menemui sebuah beg yang di dalamnya terdapat seorang bayi cukup sifat yang masih bernyawa.

Dia yang terkejut dengan penemuan itu, kemudian menghubungi polis memaklumkan berkaitan insiden itu untuk tindakan selanjutnya.

Bayi tersebut masih bernyawa selepas ditemui

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata polis pergi ke ke lokasi kejadian bersama petugas perubatan Klinik Kesihatan Bayan Baru untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Ketika tiba di lokasi mendapati bayi itu ditemui dalam keadaan masih bernyawa di bahagian kawasan terbuka flat terbabit”.

“Polis kemudian mengenal pasti rumah suspek dan membawa dia bersama bayinya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Campak bayi untuk elak diketahui ahli keluarga

Selain itu menurut Anbalagan lagi, siasatan ke atas suspek berusia 18 tahun itu mendapati dia mengaku melahirkan bayinya pada jam 7 pagi tadi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

“Suspek panik dan dia membuat keputusan membuang bayinya dari tingkat empat melalui balkoni kecil rumah flatnya untuk mengelak diketahui ahli keluarganya”.

Turut merahsiakan kandungan dari diketahui

Suspek turut memberitahu, tindakannya tidak diketahui keluarga dan dia merahsiakan kandungannya selama ini.


“Ketika kejadian ibu bapanya tiada di rumah kerana berada di Kelantan manakala adik-beradik yang tinggal bersama suspek tidak menyedari kejadian ini,” katanya.

Ayah bayi tersebut adalah teman lelakinya

Disamping itu, suspek turut merahsiakan dirinya mengandung daripada ahli keluarganya dan mendedahkan bapa kepada bayi itu adalah teman lelakinya yang sebaya dengannya.

“Usaha mengenal pasti teman lelaki suspek giat dilakukan polis”.

“Ketika ini, doktor sedang melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui keadaan bayi terbabit memandangkan terdapat pendarahan pada kepala,” katanya.

Mujurlah penduduk di kawasan tersebut bertindak pantas menghubungi pihak terlibat dan bayi itu masih ditemui bernyawa.

Semoga kejadian ini menjadi teladan dan pengajaran kepada orang ramai dan diharap kejadian sebegini tidak lagi berlaku.