[FOTO] Bukan di Luar Negara, Lokasi Cantik Ini Sebenarnya Hanya Di Malaysia!

Jika dilihat sekali imbas, pemandangan ratusan jerami gulung ini seperti berada di luar negara, namun siapa sangka keindahan pemandangan itu sebenarnya terletak hanya di Kedah dan Perlis.

Pemandangan yang sangat cantik itu menggamit perhatian orang ramai untuk berhenti mengambil gambar, malah ada kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang berlari di atas gulungan jerami terbabit tanpa mengetahui tujuan jerami itu dituai.

Melalui satu perkongsian di Facebook Mazuin Noordin, lokasi jerami gulung ini terletak di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah.

Pemandangan itu sebenarnya dapat dilihat pada pertengahan bulan Januari selepas pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mula menuai jerami bagi mengelak pembakaran terbuka.

Menurut Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ruslan Abdul Ghani Ahmad, setiap gulung jerami dianggarkan seberat 400 hingga 500 kilogram (kg) dan pihaknya mensasarkan untuk menuai sehingga 4, 500 tan metrik pada musim ini dengan anggaran 12,000 gulung di seluruh Kedah dan Perlis.

Katanya, jerami terbabit akan disimpan dalam 10 gudang kawasan PPK sebelum dijual kepada penternak haiwan dan pembuat kraftangan.

Tambahnya lagi, penjualan jerami antara RM65 hingga RM80 segulung turut membantu menambah pendapatan PPK sehingga 15 peratus sekali gus memberi pulangan menerusi koperasi ahli PPK iaitu para petani.

Malah, proses penuaian menggunakan mesin ini turut menjimatkan kos petani berikutan mereka tidak lagi perlu membayar upah memotong tunggul jerami. Jika tidak, petani perlu membayar RM25 kepada PPK bagi kos memotong tunggul jerami pada setiap 0.28 hektar sawah yang diusahakan.

Selain daripada jerami gulung, orang ramai di sekitar daerah Yan ‘dianugerahkan’ lagi dengan panorama indah ‘rumput karpet’ yang tumbuh di dalam tali air.

Keindahan semulajadi yang terdapat di Kampung Pulau Tembun menarik perhatian ramai yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar sejak awal pagi.

Keadaan rumput yang tumbuh menghijau sepanjang tali air MADA itu dikatakan ianya membuktikan kekuasaan Allah SWT yang menghidupkan rumput subur di atas tanah kering kontang akibat musim panas.


Rumput karpet itu juga dikenali sebagai rumput air di kalangan petani selepas ia tumbuh di dalam ‘sungai’ yang berlumpur.

Bagi anda yang ingin pergi bergambar di jerami gulung dan rumput karpet ini anda boleh ‘waze’ atau google

  • Jerami Gulung Sungai Limau Dalam, dan
  • Rumput Karpet Kg. Pulau Tembun