Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan beliau akan bersara wajib dalam masa terdekat kerana sudah tiba masanya untuk berbuat demikian, lapor Kosmo.

Beliau bagaimanapun memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung persaraannya itu.

“Kita kena sedar bila tiba masanya untuk pergi (bersara) kita kena pergi. Tiada masalah, jadi janganlah buat spekulasi yang bukan-bukan.

“Kita sudah selesaikan tanggungjawab kita dan diharapkan kita telah menjalankan amanah dengan baik ekoran tanggungjawab yang telah diserahkan, ” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ke-63 di Markas FRU di sini hari ini.

Jelas Mohamad Fuzi, banyak perkara yang boleh dilakukan selepas tamat tempoh perkhidmatannya kelak termasuklah mendirikan perkahwinan dan berniaga.

“Saya bujang sekarang jadi mungkin saya akan berkahwin, banyak perkara yang saya boleh lakukan kelak selepas bersara.

“Jangan risau apa saya hendak lakukan selepas bersara, saya mungkin akan menjual durian di tepi jalan dan kamu (pemberita) mungkin boleh membeli serta mengambil gambar,” katanya dalam nada berseloroh.

Tambah Mohamad Fuzi, bukan beliau seorang sahaja yang akan melalui fasa persaraan ini malah beberapa pucuk pimpinan PDRM lain akan turut menyusul.

“Bukan saya sahaja yang akan berpencen, tapi timbalan saya (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Datuk Seri Mohmad Salleh) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.) akan turut bersara.

“Saya tidak susah hati, gembira sahaja dan berharap telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 4 September 2017 bagi mengantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau menyertai pasukan beruniform tersebut pada 8 Januari 1984 sebagai kadet Asisten Superintenden di Pulapol

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.