“Doktor kata mungkin mengandung, saya belum kahwin” Perut Membuncit, Rupanya Kanser Ovari Tahap Dua

Kesihatan harus dititik beratkan walau sesibuk mana pun kita, baik lelaki atau pun perempuan. Pemakanan dan gaya hidup sihat harus kita amalkan supaya penyakit-penyakit serius dapat dielakkan.

Ramai antara kita yang sering abaikan kesihatan. Namun kita lupa kesihatan haruslah dijaga dari usia muda lagi.

Mungkin juga segelintir daripada kita takut untuk berjumpa doktor. Ada juga yang berkata “nanti lah, muda lagi” sedangkan mencegah lebih baik daripada merawat.

Beberapa hari yang lalu, seorang gadis di TikTok bernama Hawa Zainal telah berkongsikan perjalanannya sebagai bekas penghidap kanser ovari tahap dua.

Gadis berusia 22 tahun ini berkata yang dia juga tidak menyangka beberapa hal aneh yang dialaminya sebelum-sebelum ini rupanya simptom kepada penyakit kanser ovari.

Dia jelaskan bahawa simptom kepada penyakit kanser ini cuma bermula daripada demam yang tak kebah-kebah selama sebulan.

“Mula-mula saya alami demam on-off selama sebulan pada Jun lalu. Saya pergi buat swab test dua kali, namun hasilnya dua-dua keputusan negatif Covid-19. Ketika demam tu saya ada juga rasa sakit sendi. Doktor syak saya demam denggi tapi tak juga.” katanya kepada portal mStar.

“Nak dijadikan cerita, saya memang ada gastrik dari dulu. Ada satu hari, saya pergi klinik lagi sebab gastrik dan masa doktor buat pemeriksaan ketika berbaring, perut rasa tegang dan keras.”

Dia juga terperanjat apabila doktor yang dijumpanya mengesyaki dia telah mengandung.

“Doktor kata saya mungkin mengandung. Kebetulan perut pun sedikit buncit tapi saya fikir sebab badan berisi. Terkejut juga bila dia kata macam tu dan saya jelaskan saya belum kahwin.”

“Bila saya cakap macam tu, doktor terus refer saya ke hospital kerana ia mungkin fibroid,” ujar Hawa.

Katanya lagi, dia juga dihantar ke hospital pada hari yang sama untuk menjalani pemeriksaan lebih lanjut sebelum menerima berita duka daripada doktor.

“Doktor jalankan pelbagai prosedur untuk kenal pasti penyakit saya. Hari itu juga dapat tahu bahawa ia kemungkinan kanser. Masa doktor beritahu, saya rasa takut… sebab kita rasa sihat saja. Menangis la juga. Dalam famili juga tiada sejarah sakit kanser, namun saya anggap ia ujian untuk saya.”

Hawa menjalani rawatan di hospital pada Jun lalu.

“Pada Julai, saya jalani pembedahan untuk buang tumor di perut. Hampir tiga minggu dirawat di hospital. Sedih juga sebab terpaksa duduk seorang diri, tak ada siapa boleh teman kerana situasi sekarang Covid-19 belum reda.”

“Hanya jururawat saja yang melayan. Masa sedang sakit tu, saya lihat apa yang saya alami ni tidaklah setara pesakit lain… ada yang lebih teruk. Sebulan selepas operate, saya dimasukkan sekali lagi ke hospital kerana dehidrasi kesan pasca pembedahan.”

“Alhamdulillah, keluarga, rakan-rakan dan pensyarah banyak bagi kata-kata semangat”, katanya lagi yang masih menuntut dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Hawa juga menjelaskan niat sebenarnya memuat naik video tentang perjalannya sebagai penghidap kanser ovari di TikTok hanyalah mahu berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan cara mengatasinya. Secara tak langsung meneyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit ini khasnya golongan wanita di luar sana.

“Mula-mula tu sajalah muat naik video sebagai kenangan… tak sangka pula ramai request ceritakan pasal penyakit saya. Apa yang boleh saya kongsikan, kurangkan makan fast food dan junk food”.

Gadis yang menetap di Merlimau, Melaka ini juga memesan,

“Kalau rasa ada perubahan yang tak normal cepat-cepat pergi jumpa doktor. Untuk kes saya, saya rasa agak lambat juga bertindak sebab perut dah membesar macam orang lima bulan mengandung. Saya ingat buncit biasa, lagipun ia tak rasa sakit.”

Hawa kini menjalani kemoterapi.

“Walaupun dah jalani pembedahan, ada juga perasaan bimbang tumor tu tumbuh semula. So far Alhamdulillah saya rasa makin sihat. Buat masa ini saya perlu jalani kemoterapi dan mash berbaki dua pusingan.”

“Saya terharu sangat ramai doakan cepat sihat di ruangan komen. Ada juga cancer survivor yang kongsi kisah masing-masing. Terima kasih sangat-sangat,” ujarnya.

Video tular di laman Tiktok:

@hawazn_♬ Easy On Me – Adele