Remaja Cuba Terjun Jambatan Sebab Ditegur Main Game, Aksi Ketua Polis Selamatkan Gadis Ini Jadi Perhatian

Sudah menjadi lumrah kehidupan apabila anak-anak yang sudah dewasa dan matang, ada segelintir antara mereka ada juga yang bersikap tidak boleh menerima teguran ibu bapa atas kesalahan yang mereka lakukan.

Ditambah pula dengan kemunculan permainan video dalam telefon pintar juga menjadi penyebab perhubungan anak-anak dengan ibu bapa menjadi renggang.

Apabila ditegur untuk berhenti bermain video game, malah ada segelintir anak-anak remaja yang bertindak di luar kawalan dan sanggup melawan cakap ibu bapa.

Terbaru, tular satu video di Twitter yang memaparkan tindakan luar kawalan seorang remaja perempuan yang cuba untuk terjun dari jambatan

Hanya kerana ditegur oleh bapanya kerana terlalu asyik bermain video game dalam telefon bimbitnya, remaja perempuan itu dipercayai membuat cubaan untuk terjun dari jambatan di kilometer 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi, semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, remaja berusia 16 tahun itu berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan pasukan bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Bomba juga dihubungi untuk bantuan memasang jaring di bawah jambatan. Namun, ketika proses memujuk itu, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi Sarjan Mejar Maznan Omar sempat berlari ke arah mangsa dan menariknya dari belakang.

“Beliau dibantu anggota lain dan remaja berkenaan berjaya diselamatkan.”

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.12 petang dan sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Tinggi telah tiba di lokasi berkenaan.

Tambah beliau, remaja itu dilihat duduk di tebing jambatan dan beberapa anggota cuba untuk memujuknya supaya bertenang.

Ujar Zaiham lagi, mangsa didakwa tertekan selepas ditegur kerana sering bermain permainan video di telefon bimbit dan bapanya telah merampas telefon tersebut.

Mangsa juga dimaklumkan mengalami kemurungan dan dalam rawatan.

Video tular di laman Twitter