Ditampar Dengan Durian Kerana Gagal Bayar Hutang RM 85K, Wanita Dedah Cerita Sebenar

Seperti yang kita sedia maklum, ‘Ah Long’ atau ‘Along’ merupakan suatu kumpulan yang menjalankan kegiatan pinjaman wang secara haram.

Kebiasaannya, mereka yang terjebak dengan hutang Ah Long akan diugut dengan pelbagai cara yang kejam agar penghutang membayar semula hutang mereka dengan disertakan jumlah faedah atau ‘bunga’ yang melampau.

Sama juga seperti isu yang tular baru-baru ini, Duangden, seorang wanita warga Thailand terkejut apabila ditampar di bahagian mukanya dengan sebiji buah durian.

Berdasarkan laporan Khaosod, wanita tersebut ditampar sewaktu sedang memberhentikan motosikalnya di hadapan Kuil Chang Rong di mukim Nai Mueng, Thailand untuk menjawab telefon.

Selepas menampar Duangduen sehingga mukanya berdarah, penyerang tersebut terus melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah lori pikap.

Duangden ketika ditemu bual mengaku bahawa dia telah meminjam wang daripada Ah Long tersebut sebanyak 20,000 baht (RM2,434.10) kerana ingin dijadikan modal untuk membuka sebuah kedai bersama rakannya.

Walau bagaimanapun, semuanya menjadi kacau bilau apabila jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh Duangden memuncak naik menjadi 700,000 baht (RM85,193.59) termasuk faedahnya sekali.

Menurut Duangden, dia telah membuat bayaran secara berkala membayar hutangnya tetapi disebabkan dilanda pandemik COVID-19, situasi kewangannya semakin sempit dan mengalami kerugian yang banyak apabila kedainya tidak mampu beroperasi seperti biasa.

Berikutan hal tersebut, Ah Long ini mengupah pengutip hutang untuk mengugut dan meminta kembali wang yang telah dipinjam oleh Duangden sehingga mengganggu wanita ini di rumahnya.

Lebih teruk lagi, pemungut hutang tersebut turut mencadangkan kepada Duangden agar meminjam lagi wang daripada Ah Long untuk membayar semula wang tersebut.

Dengan itu, Duangden akhirnya terpaksa membayar hutang sebanyak 20,000 baht (RM2,434.10) sehari sehingga kawannya mengambil keputusan untuk melarikan diri dan meninggalkan Duangduen keseorangan.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini telah menghubungi jabatan rasmi kerajaan iaitu bahagian pengurusan hutang kerajaan untuk meminta bantuan lanjut.

Namun begitu, pemungut hutang tersebut masih melawat rumah Duangden dan memaksanya untuk membayar semua hutang-hutangnya.

Situasi menjadi semakin teruk apabila Duangduen perlu hentikan motornya di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon sebelum seorang wanita datang menghampirinya dan menamparnya menggunakan kulit durian dan melarikan diri pada 17 Julai lalu.

Akibat tragedi itu, Duangduen telah pun membuat laporan polis namun tiada tindakan lanjut diambil.

Kesudahannya kini, wanita ini telah meminta media untuk bantu menularkan ceritanya bagi mendapatkan pertolongan kerana sehingga sekarang dia masih diganggu dan diugut oleh pemungut hutang tersebut.