Disamun Lelaki Kurang Siuman, Wanita Guna Kasut Tumit Tinggi Untuk Pertahankan Diri Selepas Dihentak Lebih 20 Kali Di Muka!

Bahaya ada di mana-mana sahaja dan boleh mengancam keselamatan seseorang tak kira lelaki mahupun perempuan.

Kaum perempuan terutamanya sering menjadi sasaran gejala jenayah kerana selalu dianggap lemah.

Oleh itu, sangat bahaya jika seorang perempuan ingin keluar berseorangan dan sering dinasihati agar sentiasa berteman.

Persis seperti kisah yang berlaku kepada isteri lelaki yang bernama Hemi Mohd apabila isterinya dikatakan menjadi mangsa samun dan pukul.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat beli belah di Center Point Mall Klang, Selangor. Hemi yang membuat satu hantaran di Facebook telah meluahkan rasa sedih dengan keadaan isterinya, Fuza Nordin.

“Astagfirullahalazim. Mohon doakan keselamatan isteri saya. Ya Allah, Allah Maha Besar.

“Isteri saya Fuza Nordin diserang, diragut dan dipukul di kaki lima jalan nak masuk ke Centre Point Mall Klang setelah park kereta di hadapan Pizza Hut Jalan Taiping pada pukul 10.30 pagi.

“Diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, dipercayai kurang siuman. Dia diketuk lebih 20 kali menggunakan handphone isteri saya sendiri, ditendang dan dipukul serta dikorek mata kanannya,” katanya.

Pergelutan antara suspek dan isterinya dikatakan berlaku selama 15 minit. Dalam pergelutan itu, isterinya ditendang dengan teruk sehingga isterinya menjadi trauma.

Perkongsiannya ini berjaya meraih sebanyak 2.9 ribu perkongsian oleh orang ramai.

Manakala Rabu lalu, wanita ini menceritakan semula situasi semasa diserang oleh suspek menerusi live di Facebook milik mangsa sendiri.

Walaupun diserang dengan tragis, dia tetap mencuba melawan suspek untuk meloloskan diri.

“Setelah diserang daripada belakang secara bertubi-tubi, diketuk dengan keadaan darah berlumuran, saya palingkan muka semata-mata untuk tengok wajah si penjenayah.

“Namun saya serang dia semula dengan satu tendangan. Saya pakai kasut tumit tinggi. Atas alasan itu, penjenayah melepaskan dan mencampakkan telefon ke tanah di sebelah kiri saya dan melarikan diri selepas kepala dan mata saya dipijak dan dikorek oleh tangannya.

“Saya memohon pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat rondaan dan menagkap sekiranya lelaki tersebut kategori tidak waras dan mendapatkan waran mahkamah bagi menempatkan lelaki tersebut di Hospital Tanjung Rambutan,” katanya.

Mangsa turut menunjukkan kesan cedera teruk di bahagian muka dan kepalanya sehingga berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao mengesahkan menerima laporan berkenaan insiden.

Menerusi satu kenyataan, polis menggambarkan suspek merupakan seorang gelandangan, berbadan kurus, berkulit sawo matang, berambut panjang paras bahu dan dianggarkan berumur 40-an.

“Pihak polis membuka kertas siasatan bawah seksyen 393 kanun keseksaan.

“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat tepat berkaitan suspek bolehlah berhubung dengan balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Mangsa mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) serta membuat laporan polis di Balai Polis Klang Selatan.

Posting mengenai insiden tersebut di Facebook meraih perhatian netizen. Ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama malah bimbang akan keselamatan masing-masing.

Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Hemi memuat naik potongan berita berhubung lelaki yang disyaki sebagai suspek kes samun membabitkan isterinya.

Hemi turut merayu bantuan orang awam untuk menyebarkan maklumat agar suspek segera diberkas.

Difahamkan suspek belum dapat dikesan dan masih menjadi buruan polis sehingga kini.