MB Johor Menyamar Jadi Rakyat Biasa Naik Bas Ke Singapura, Mahu Lihat Sendiri Servis Pengangkutan Awam

Cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac lalu.

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai EXCO Johor memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan, selain aktif dalam advokasi orang muda.

Semalam, beliau berada di Johor Bahru Sentral ingin ke Singapura dengan menaiki bas untuk melihat sendiri servis dan perkhidmatan yang disediakan.

Beliau turut menyamar menjadi rakyat biasa agar dapat merasai pengalaman seperti mana yang dilalui oleh orang ramai.

Selain membuat pantauan, dia turut berhasrat untuk membuat penambahbaikan pada terminal tersebut jika ada kekurangan yang didapati.

“Hari ini saya berada di JB Sentral, nak pergi ke Singapura naik bas, dan kembali semula (ke Johor Bahru) naik bas. Saya nak tengok sendiri keadaan dan servis di sini. Apa yang perlu dibuat penambahbaikan daripada segi perkhidmatan di sini, Insya-ALLAH,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasmi miliknya.

Beliau memulakan perjalanan dari Terminal Bas JB Sentral serta menggunakan kaedah pengembara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (QIC) Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor).

Pengangkutan awam yang menghubungkan dua negara kini berfungsi seperti biasa setelah kedua-dua negara membuka sempadan.

Menurut laporan yang dibuat oleh media tempatan, ini bukanlah kali pertama beliau mengambil pendekatan yang berbeza sepanjang mendalami isu rakyat.

Sebelum ini, beliau pernah memandu bersendirian di sekitar Bandar Raya Johor Bahru untuk melihat proses pembangunan yang dilaksanakan selain meninjau isu semasa berkenaan rakyat.

Menerusi hantaran yang lain, beliau memberitahu dirinya selamat tiba di Johor Bahru dari Singapura dengan melalui proses yang biasa dilalui semua.

Beliau turut dapati masih banyak perkara yang boleh diperbaiki. Beliau berusaha untuk memperbaikinya dengan segera demi keselamatan dan keselesaan pengguna.