Dipandang Rendah Gara-Gara Kerja Pemandu Lori, Pemuda Ini ‘Tayang’ Sijil Dekan 4 Semester!

Lumrah kehidupan, taraf pendidikan dan pekerjaan sering kali menjadi kayu ukur buat segala-galanya.

Terdahulu, seorang rider Grab Food terpaksa berkongsikan sijil-sijilnya bagi menutup mulut orang yang merendahkan pekerjaannya sebagai penghantar makanan mencuri perhatian ramai.

Baru-baru ini, ‘turn’ abang lori pula bersuara apabila pekerjaannya dipandang enteng oleh masyarakat mencuri perhatian ramai.

Menerusi video yang dimuat naik, siapa sangka rupa-rupanya dia merupakan seorang pelajar cemerlang bagi kelulusan Ijazah Sarjana Muda Persembahan (Teater) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Lelaki Ini juga turut mendapat empat kali dekan berturut-turut dengan menunjukkan empat keping sijil anugerah dekan yang diterimanya sewaktu pengajian dahulu.


Memetik laporan mStar, dia membuat video tersebut adalah untuk membidas cara pemikiran seseorang yang memandang rendah terhadap kerjayanya sebagai seorang pemandu lori.

Katanya, segelintir masyarakat beranggapan bahawa individu yang bekerja sebagai pemandu lori ini adalah seorang yang tidak mempunyai pelajaran serta dilabel sebagai seorang pemalas.

“Jadi saya hasilkan video ini sebab terkesan dengan mentaliti masyarakat. Malah ada artikel dikeluarkan dengan meletakkan topik ‘Lori pembunuh nombor satu lebuh raya’ yang membuatkan masyarakat lebih memandang buruk terhadap kami seolah-olah kemalangan yang melibatkan kenderaan berat sengaja dilakukan,” ujarnya.

Tambah pemuda kelahiran Teluk Intan, Perak itu lagi, keadaan ekonomi yang melanda pada masa kini menyebabkan sesetengah graduan cemerlang tidak boleh memilih apa-apa bidang pekerjaan untuk menjana pendapatan.

Bukan itu sahaja, dia juga berharap agar masyarakat membuang mentaliti sebegini dan tidak mengkritik kerjaya seseorang malah bersikap lebih terbuka.

“Saya dah faham dengan persekitaran kerja dan mahir dengan banyak jalan. Saya pun dah lama teringin melancong ke seluruh Malaysia. Dengan jadi pemandu lori, secara tak langsung meluaskan pemandangan dan pengalaman tanpa perlu memikirkan kos minyak dan tol kerana semuanya ditanggung syarikat,” katanya lagi.

Video yang tular di laman TikTok:

@amirul_daus98 Betul lah tu, cukup2 makan je ni #fyp #fypシ #upsi #konvokesyenupsi #abanglori #peskonupsi23 #teater ♬ original sound – 1%