Dihukum Penjara 5 Tahun, Model Sambilan Mohon Penangguhan Untuk Rayuan

Seorang model sambilan telah didapati bersalah memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang juruteknik kilang dalam kemalangan pada tahun 2017 dan dihukum penjara lima tahun dan denda RM18,000.

Menerusi laporan Berita Harian, tertuduh, Ng Pei Ven, 22, menangis sambil memandang ibunya ketika Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman berkenaan terhadapnya.

Batal lesen memandu

Mahkamah juga membuat keputusan untuk membatalkan lesen memandu percubaan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana memandu hingga menyebabkan kematian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan tertuduh diwakili peguam Lim Boon Beng.

Mohon tangguh hukuman

Selepas hukuman dijatuhkan, Boon Beng meminta penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan untuk anak guamnya bagi membuat rayuan.

Mahkamah bersetuju untuk penangguhan, bagaimanapun tertuduh diminta membayar RM5,000 untuk ikat jamin.

Pandu lawan arus

Dalam kejadian pada 14 Mac 2017, Mohamad Fandi Rosli, 26, maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu wanita berkenaan secara melawan arus.

Kemalangan jam 7.50 pagi itu berlaku di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Permatang Pauh.

Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah.

Kesan daripada pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah lalu meninggal dunia di tempat kejadian.