Genap 100 Hari Dilantik Jadi PM Ke-8, Ini Yang Telah Dilakukan Oleh Tan Sri Muhyiddin

Pandemik COVID-19, yang melanda dunia sehingga mengubah landskap kehidupan kepada kebiasaan baharu, menyebabkan negara-negara di dunia termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa bagi memastikan negara dapat bebas daripada pandemik itu.

Mengambil alih teraju kepimpinan negara bukan pada masa terbaik ekoran ancaman COVID-19, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menggalas tugas berat apabila dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac ketika negara sedang memerangi pandemik COVID-19, yang menyaksikan kes-kes positif meningkat ketara.

Perlu bertindak segera menangani krisis kesihatan yang melanda negara sejak akhir Januari pastinya menguji kebijaksanaan Muhyiddin mengemudi kerajaan untuk mengambil langkah berhati-hati dan membuat keputusan melaksanakan langkah yang tidak pernah dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersesuaian dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berikut adalah inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh perdana menteri:

9 Mac: Umum Kabinet merangkumi 32 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri, sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan.

11 Mac: Tubuh Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi mendepani cabaran ekonomi negara.

              – Lancar tabung khas bantu pesakit COVID-19

13 Mac: Meningkatkan bilangan hospital bagi merawat kes COVID-19 melalui kolaborasi dengan hospital swasta, hospital tentera dan hospital universiti.

16 Mac: Isytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk menutup pintu sempadan negara kepada warga asing.

19 Mac: Umum peruntukan tambahan RM160 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini, bagi pembelian aset perubatan dan aset bukan perubatan, susulan gelombang kedua wabak itu di negara ini.

23 Mac: Umum peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKM  bagi menangani gejala COVID-19, RM100 juta untuk lantik 2,000 kakitangan kesihatan baharu, dan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 bagi meringankan beban ketika menghadapi cabaran COVID-19.

25 Mac: Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020, dan  umum penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat.

27 Mac: Bentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatan Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi manfaat rakyat dengan tiada golongan yang akan tercicir dan lebih separuh daripada peruntukan iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat serta meringankan beban rakyat.

– Antaranya pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion kepada kumpulan M40 dan ke bawah, RM1 bilion peruntukan tambahan kepada KKM bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan, elaun khas petugas barisan hadapan sebanyak RM600 sebulan mulai 1 April.

– Program subsidi upah diperkenal bagi membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dengan peruntukan RM5.9 bilion dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang.

6 April: Umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

10 April: Umum tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April dan beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang PKP berkuat kuasa.

15 April: Kerajaan mengumumkan sebanyak US$300 juta atau RM1.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.

1 Mei: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei.

10 Mei: PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020.

30 Mei:  Muhyiddin mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

5 Jun: Mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM35 bilion bagi memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

7 Jun: Mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos tahun ini apabila negara memasuki fasa pemulihan pandemik COVID-10 dalam tempoh itu.

PKPP – Exit strategy

PKPP adalah sebahagian daripada ‘exit strategy’ atau strategi keluar daripada PKP bagi Malaysia yang kini memasuki fasa pemulihan COVID-19, susulan trend jangkitan wabak yang semakin menurun, manakala kapasiti perubatan dan kesihatan awam berada pada tahap lebih baik dan meyakinkan.

Mengulas tindakan kerajaan memerangi wabak COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang merupakan antara petugas barisan hadapan tertinggi memerangi COVID-19, menyifatkan penguatkuasaan PKP dibuat ketika negara tidak mempunyai keupayaan iaitu ketiadaan vaksin COVID-19 atau ubat untuk merawat pesakit.

“Kementerian Kesihatan berbincang dengan Tan Sri (Muhyiddin) mengenai situasi COVID-19, dan saya kagum kerana beliau dengan berani ambil tindakan laksanakan PKP kerana ketika itu tak banyak negara laksanakan tindakan seumpama itu selain China.

“…pelaksanaan PKP juga menyaksikan kita mengunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988), tak pernah lagi dalam sejarah negara kita menggunakan akta itu.

“Kita sokong, itulah cara yang terbaik dan tiada betul ataupun salah sebab tiada orang (negara) buat lagi (PKP) ini… orang kata ‘uncharted territory’ (sesuatu yang baharu), ini satu keberanian,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama, di KKM di sini.

Mengimbas kembali pada awal tindakan Muhyiddin memperkenalkan PKP menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri pada 16 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata ramai yang sangsi dengan keputusan perdana menteri untuk melaksanakan perintah kawalan itu.

“Sebelum 16 Mac itu (pengumuman PKP), ramai yang sangsi… betulkah tindakan PKP ini? Tindakan tak popular… tapi ini bukan soal (langkah) popular atau tidak, ini soal keselamatan negara dan jika itu cara untuk menyelamatkan negara, kita laksanakan dasar itu.

“Kini, kita lihat PKP berjaya meratakan lengkuk COVID-19 dan banyak negara jiran telah mengikuti langkah sama. Ini menunjukkan Malaysia sudah ke depan dalam mengunakan satu kaedah yang tidak pernah lagi diguna pakai di negara lain khususnya di rantau Asia,” katanya.

Sikap Muhyiddin memberi kepercayaan yang tinggi kepada semua penjawat awam untuk menjalankan tugas memerangi wabak itu, turut dikagumi.

Bagi Dr Noor Hisham, matlamat serta agenda kerajaan dan semua orang ketika itu hanyalah satu iaitu untuk menyelamatkan negara daripada COVID-19 dengan menggunakan kaedah ‘full government approach’ atau kerjasama padu antara semua kementerian dan agensi kerajaan.

“Bukan sahaja keberanian (buat keputusan oleh) Tan Sri (Muhyiddin), malah yang penting beliau dengar dan percaya pada penjawat awam untuk melaksanakan dasar (PKP) dalam kita memerangi COVID-19,” katanya mengingati hari pertamanya bermesyuarat bersama Muhyiddin berkaitan COVID-19 pada hari kedua Perdana Menteri memulakan tugas.

Pertama kali dalam sejarah Malaysia, PKP yang dilaksanakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara turut dikenakan dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

PKP turut menyaksikan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Malaysia disekat dan tindakan kawalan sempadan yang tegas.

Di peringkat antarabangsa, penyertaan Malaysia dalam kolaborasi global untuk menyegerakan usaha dalam penghasilan vaksin COVID-19 mendapat sentuhan langsung Muhyiddin apabila menyertai beberapa pemimpin dalam telesidang dihoskan WHO pada pelancaran kerjasama penghasilan vaksin COVID-19 pada 24 April.

“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan. Dan saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap COVID-19,” kata Muhyiddin dalam ucapannya.

Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan, Muhyiddin mengadakan sidang video bersama wakil mereka untuk bertanya khabar dan mendengar sendiri keluh kesah serta permintaan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi COVID-19 dan menjayakan pelaksanaan PKP.

Bagi menangani wabak COVID-19 yang memberi impak besar terhadap ekonomi dan rakyat Malaysia, pada 27 Mac Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion bagi melindungi kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung semua rakyat.

Pakej rangsangan itu meliputi suntikan tambahan khas RM1 bilion kepada KKM bagi pembelian peralatan dan membiayai perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan serta pembayaran elaun khas dari RM400 hingga RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan, dan elaun khas RM200 kepada anggota beruniform.

Menyifatkannya sebagai tindakan tepat, Dr Noor Hisham berkata langkah itu pastinya dapat membantu memulihkan negara yang terkesan akibat wabak COVID-19, sekali gus dapat mengimbangkan ‘live’ dan ‘livelihood’.

“Inisiatif (PRIHATIN) itu tepat dan cepat… kini kita lihat kerajaan laksana pula PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) untuk rangsang ekonomi supaya kita (negara) cepat pulih daripada wabak dan sektor ekonomi.

“This is win-win situation. Ini (PRIHATIN dan PKPB) adalah tindakan bijak… kita dalam fasa pemulihan iaitu mampu kawal wabak dan pada masa yang sama kita rancakkan kembali sektor ekonomi negara,” kata Dr Noor Hisham.

Kerajaan pimpinan Muhyddin turut melancarkan Tabung COVID-19 pada 11 Mac sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA yang mengandungi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak COVID-19.

— BERNAMA