Dibelit Ular Sawa Batik, Remaja OKU Bergadai Nyawa Selamatkan Ibu Tersayang

BALING: "Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengenepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik." Itu luahan seorang remaja OKU masalah pembelajaran, Muhammad Rasul Abdullah, 16, mengulas mengenai penganugerahan pingat Hang Tuah kepadanya sempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran [...]

Seorang remaja OKU masalah pembelajaran, Muhammad Rasul Abdullah, 16, menerima anugerah pingat Hang Tuah sempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rasul muncul sebagai hero apabila berjaya menyelamatkan nyawa ibunya, Halipah Othman, 47, yang dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram pada hujung Mei lalu di kediaman mereka di Kampung Ulu Tawar, Baling.

Menurut Rasul, walaupun dirinya seorang OKU dan mempunyai kudrat yang terbatas, dia sanggup mengenepikan keselamatan diri sendiri demi ibunya, lapor Astro Awani.

“Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengenepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik.”

Dalam kejadian tersebut, Rasul telah bertindak memotong bahagian tengah ular sepanjang enam meter itu dengan bantuan adik dan sepupunya yang berusia 15 tahun.

Insiden 11 malam

Insiden yang pada jam 11 malam itu terjadi ketika mereka bertiga sedang bermain di kawasan luar rumah.

Secara tiba-tiba Rasul terdengar jeritan ibunya dari dapur dan mereka terus bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat ibunya dibelit sehingga ke paras dada oleh seekor ular sawa batik.

Terkejut melihat ibunya sedang bertarung nyawa, Rasul dan sepupunya cuba melepaskan belitan ular pada bahagian ekor.

Adiknya pula cuba mendapatkan bantuan daripada jiran terdekat.

Setelah hampir setengah jam bergelut, Rasul mengambil keputusan untuk menetak bahagian tengah ular batik berkenaan.

Badan terputus dua

Dengan bantuan penduduk kampung, akhirnya ular tersebut terputus dua dan tidak lama kemudian, ia mati.

Ibu Rasul pula mengalami kecederaan ringan dan bernasib baik tiada sebarang yang serius.

“Kami fikir (ketika itu) hanya nak bagi mak lepas daripada (dibelit) ular itu sebab mak memang tidak boleh buat apa-apa waktu itu,” kata Rasul.

Tidak akan lupakan detik cemas

Menurut Rasul, meskipun kejadian itu sudah lima bulan berlalu, namun tidak mungkin dia melupakan detik cemas pada malam itu.

Rasul juga berharap kejadian itu akan menjadi pengalaman pertama dan terakhir buatnya.

Malah, Rasul juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM atas anugerah yang diterimanya dan mengharapkan anugerah yang diterimanya itu akan menjadi contoh kepada remaja lain berbakti kepada ibu bapa.