Cadang Adakan ‘Nursery’ Masjid, Ini Jawapan Ustaz Mohammad Yaakub

Solat ialah perkara wajib yang harus diamalkan oleh seluruh muslimin dan muslimat. Oleh itu, ibu bapa haruslah mencorakkan kain putih dengan memupuk amalan solat ini dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi seperti membawa mereka ke masjid atau surau bagi menunaikan ibadah solat.

Namun begitu, anak-anak yang dibawa ke tempat beribadah juga harus berada dalam keadaan yang terkawal agar dapat melakukan ibadah solat dengan tenang.

Berdasarkan laporan RotiKaya, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra dari Murtadha Dakwah Centre (MADAD), telah membuat satu hantaran di laman Facebooknya mengenai ruangan khas yang boleh dijadikan sebagai sudut mainan untuk anak-anak kecil dan aktiviti-aktiviti untuk golongan muda.

Menerusi perkongsian beliau, beliau memberikan sedikit gambaran mengenai bagaimana cadangan ini boleh dilaksanakan.

“Seronok kan kalau setiap masjid disediakan ruangan khas buat anak2 kecil, dalam masa yang sama buat kempen anak2 buat kerja sekolah di Masjid.

“Mak ayah boleh attend pengajian dan MeTime di masjid antara maghrib ke Isyak, anak2 bagi ada “nursery” di masjid. Its A Good therapy,” tulis Ustaz Yaakub dalam hantarannya itu.

Ustaz Yaakub juga mencadangkan agar masjid boleh mengupah seorang pengasuh untuk memantau anak-anak yang diletakkan di ruangan khas tersebut.

Misalnya, yang kecil boleh bermain permainanan dan sebagainya, manakala yang sudah bersekolah boleh bantu mereka untuk buat kerja sekolah mereka.

“Masjid upahlah seorang “pengasuh” untuk bantu tengok anak2 ni, yg kecik2 bglah depa main yg bersekolah bantu guide untuk buat kerja sekolah. tak miskin pn masjid kalau bayar 1 malam (2-3jam) elaun 20ringgit utk pengasuh,” jelas beliau.

Menurut Ustaz Yaakub, walaupun kita tidak nampak apa-apa kesan jika cadangan ini dilakukan, sebenarnya ia memberikan impak yang besar kepada anak-anak bagi melahirkan rasa cinta yang lebih mendalam dengan ibadah solat.

“kita nampak mungkin macam takdak apa, tapi pada emosi dan nilai agama pada anak2 kecil sangatlah besar. Mana mungkin mereka cintakan masjid surau jika tidak diikat dr umur kecil.

“Ni antara aktiviti yg akan diusahakan jika tidak ada program malam, ajak anak2 buat tour cari masjid yang ranciak2 😂😂” tambah beliau menerusi hantarannya.

Ustaz Yaakub turut menyatakan bahawa jika masjid MADAD sudah siap, menjelang Ramadhan nanti beliau akan usahakan untuk mewujudkan ruangan khas kanak-kanak bersama pengasuh.

“Doakan ya. Siap masjid MADAD ramadhan nanti antara benda yg akan saya wajib wujudkan adalah ruangan khas Nursery kanak2 siap pengasuh. makpak sembahyang dgn tenang, anak2 biaq main kt belakang. 🥰” kata Ustaz Yaakub.