“Menjatuhkan maruah umat Islam” Youtuber Muda Buat Content Tak Berfaedah, Ustazah Asma’ Harun Beri Teguran

“DEMI ‘CONTENT’ VIRAL, SANGGUP LAKUKAN APA SAJA”.

Itulah ungkapan yang diberikan oleh pendakwah wanita terkenal iaitu Ustazah Asma’ Harun melalui posting di akaun Facebook beliau.

Pendakwah yang mempunyai pengikut seramai 1,002,700 orang itu telah menyuarakan isu tular baru-baru ini iaitu content prank di Youtube.

Mendapat perhatian ramai apabila luahan seorang bapa yang telah memeriksa handphone anaknya dan mendapati anaknya sering tidur lewat dan merajuk apabila ditegur dek kerana asyik menonton video-video prank.

Ustazah Asma’ Harun menyatakan rasa terkejut beliau apabila melihat babak-babak video yang ditayangkan.

Lebih memeranjatkan ia bukan hanya ditonton oleh dua atau tiga ratus orang, malah ada video yang mencapai sehingga 1 juta tontonan di Youtube.

“Yang membimbangkan, bagaimana jika majoriti bilangan penonton itu terdiri daripada remaja atau kanak-kanak di bawah umur? Mereka mungkin akan menganggap budaya ‘prank’ ini hanyalah perkara biasa.”

Beliau juga menegaskan budaya prank ini merosakkan kerana ia telah menjadi satu budaya yang dilakukan demi memperdayakan seseorang dalam hal yang sebenarnya tidak berlaku dan menjadikannya bahan gurauan.

Antara ‘content’ yang mereka muat naik ialah babak seorang wanita berusia muda telah mengaku hamil walaupun dirinya belum berkahwin.

Dalam video tersebut, mereka menganggap ia seolah-olah cuma gurauan yang menghiburkan.

Mengandung tanpa berkahwin bukan satu hal yang boleh dipandang enteng. Ia melibatkan dosa zina yang amat keji di sisi Allah SWT.
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنٰىٓ اِنَّهٗ كَانَ فَاحِشَةً ۗوَسَاۤءَ سَبِيْلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’: 32)

Apa yang ditakutkan oleh pendakwah tersebut itu lagi apabila yang menonton video-video sebegini adalah anak-anak kecil.


Mereka adalah golongan yang paling mudah terikut dengan perbuatan orang sekeliling. Hal ini tidak sewajarnya berlaku kerana youtuber yang terlibat dalam pembuatan video tersebut terdiri daripada golongan muda beragama Islam.

Hal ini secara tidak langsung menjatuhkan imej agama. Amat tidak berbaloi jika ia bertujuan untuk mengaut keuntungan dunia semata sehingga maruah diri sanggup digadaikan.

Dalam Islam, kita diajarkan bahawa:
“الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة”

Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Beliau juga berharap agar golongan Youtuber ini berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu demi keredaan Yang Maha Esa. Beliau juga sedar bahawa platform Youtube dapat menjana pendapatan anak-anak muda sehingga beribu ringgit sebulan dengan melakukan video-video kreatif.

Namun jika content itu melibatkan maksiat yang terang-terangan demi meraih sebilangan ‘subscribers’, ia amat tidak wajar.

Lebih ramai ‘content creator’ yang beragama Islam menghasilkan video berkualiti dan mampu meraih bilangan pengikut yang hebat.

Yakinlah dengan rezeki yang diperolehi melalui jalan yang halal dan berkat.

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا

Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh. (Surah al-Mukminun: 51)

Walaupun ayat di atas menggunakan kalimah “makanlah” namun ia merujuk kepada bagaimana cara kita mendapatkan rezeki yang halal.

Akhir sekali, Ustazah Asma’ berpesan pada Youtuber bahawa menjadi figura terkenal di media sosial bukanlah alasan untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

Masyarakat akan sentiasa melihat dan memerhati setiap gerak-geri dan tidak mustahil hal ini lama kelamaan boleh menjadi ‘trend’ merosakkan jika tidak dihalang.

Lebih baik jika kelebihan dan populariti yang ada digunakan kepada jalan yang mulia serta menarik orang lain berbuat kebaikan.

Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ في الإسلامِ سنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أجْرُهَا، وَأجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ،مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورهمْ شَيءٌ،وَمَنْ سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيهِ وِزْرُهَا ، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ ، مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهمْ شَيءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang baik, maka baginya pahala untuk amalan itu dan pahala orang yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun.

Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang buruk, maka dia menanggung dosa perbuatan itu dan dosa mereka yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan dosa mereka sedikit pun. (HR Muslim, hadis sahih)

Kepada ibu bapa pula, beliau memesan agar sentiasa pantau anak-anak yang ada suka menonton content ‘prank’ kerana dikhuatairi terjerumus dalam tabiat buruk ini.

Beliau juga memperingatkan agar selalu mengawasi dan memberikan dididakan agama yang cukup agak tidak terpesong daripada agama dan terlibat dengan perkara lagha dan sia-sia.

Menerusi posting tersebut, ramai yang menyokong lelaki itu dan menganggap kelakuan youtuber-youtuber ini tidak sewajarnya berlaku kerana kebanyakannya mereka membuat “content sampah” dan meninggalkan impak buruk kepada remaja bawah usia.