Demi Cari Rezeki Untuk Keluarga, Penjual Ais Krim Ditemui Kaku Atas Motosikal

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa – hinggalah ke hujung nyawanya. Menyentuh hati, seorang ayah yang merupakan penjual ais krim telah ditemui meninggal dunia ketika sedang bekerja mencari rezeki buat keluarganya. Misyanto, 66 ditemui penduduk tempatan di jalan Desa Ledokombo, Jawa Timur, Indonesia semalam dalam keadaan kepala terlentok ke bahagian ‘handle’ motosikal [...]

Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa hinggalah ke hujung nyawa.

Itulah yang terjadi kepada seorang ayah yang juga penjual aiskrim apabila ditemui meninggal dunia di atas motosikalnya.

Lelaki tersebut dikatakan dalam perjalanan kerjanya menjual aiskrim di atas motosikal ketika ditemui sudah tidak bernyawa.

Dikenali dengan nama Misyanto, 66 ditemui penduduk tempatan di jalan Desa Ledokombo, Jawa Timur, Indonesia semalam dalam keadaan kepala terlentok ke bahagian ‘handle’ motosikal miliknya.

Menerusi laporan Suara Indonesia, saksi kejadian, Suwoco, 40, telah menemui arwah ketika dia ingin melalui jalan tersebut setelah keretanya terhalang dengan motosikal arwah.

Suwoco cuba membunyikan hon supaya arwah mengalihkan motosikalnya ke tepi, namun mangsa tidak memberi sebarang respon.

Oleh itu, Suwoco turun dari kereta dan menghampiri lelaki berkenaan yang sudah kaku tidak bergerak.

“Sejurus mendapat laporan penduduk, anggota polis terus ke lokasi kejadian. Kami sudah memeriksa jenazah mangsa bersama pasukan medik,” kata jurucakap Balai Polis Daerah Sumber, Iptu. Sono.

Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati tiada tanda jenayah pada tubuh mangsa serta barang miliknya juga tidak hilang.


Tambahnya lagi, mengikut keterangan keluarga, Misyanto sebelum ini sering mengeluh pening kepala dan sesak nafas.

“Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa sebelum ini sering mengeluh pening dan sesak nafas. Tapi tetap berkeras pergi bekerja menjual ais. Keluarganya menolak bedah siasat dijalankan,” kata Sono.