Buktikan Hebatnya Bangsa Melayu, Pensyarah Bertanjak Terima PhD di Oxford

Pensyarah dari Malaysia ini berbangga apabila mengenakan tanjak semasa majlis graduasi peringkat PhD di University Oxford, United Kingdom.

Menerusi perkongsian di Facebook, Khair Razlan Othman meminta kebenaran untuk mengenakan tanjak ketika graduasi.

Secara lumrahnya semua graduan diwajibkan untuk memakai mortar board namun pensyarah ini memilih kelainan bagi menunjukkan betapa hebatnya bangsa kita.

“Tuan, bisa mungkinkah saya mengenakan tanjak tradisional saya semasa sidang kedua?” ujarku lembut mengaju tanya kepada Sang Proktor Kolej.

Semangat yang mulia tidak pernah sesekali mengajar seorang Muslim untuk menidakkan hormatnya pada majlis keraian keramaian. Begitu spirit sabdaan Baginda ar-Rasul SAW. Kehidupan seorang Muslim perlu hikmah pada setiap masa dan ketika.

Permintaanya itu ditunaikan, namun mereka menyangka bahawa tanjak itu asalnya dari Indonesia.

“Yes sure. That’s lovely. It must be from Indonesia..”

“Oh, tidak. Saya orang Melayu dari Malaysia!”, ujarku kembali bersemangat. Ada rasa bangga menjalar lewat pembuluh darah.

Khair berkata beliau mungkjn menjadi orang pertama dan juga mungkin satu-satunya yang memakai tanjak semasa graduasi di sana.

Harapnya menjadi yang pertama dan satu-satunya barangkali semenjak sejarah penubuhan Oxford.

Niatnya hanya satu, bukan untuk populariti tetapi sengaja untuk memperkenalkan pakaian tradisi warisan yang sudah berzaman.

Memperkenalkan pakaian tradisi warisan berzaman, tanda budi dan tinggi peradaban bangsa dalam majlis berprestij sebegini. Sungguh. Ia bukan kerana populariti.

Kerna bangsa ini sudah sekian lama mendiamkan diri. Samada malu atau memang tidak mahu. Samada ragu atau memang dalam keliru.

Bisa mungkin setiap orang salahkan pemimpin yang rajin kelahi, atau pengikut yang hilang jati diri.

Namun aku lebih suka memilih menjadi pelopor. Menerobos jalan yang unik. Kerana massa perlukan qudwah hidup yang berjalan di bawah tataan nan tinggi. Apa lagi di bumi Tanah Melayu yang sedak bergolak hari ini. Harus ada sosok manusia yang berani mengorek keluar khazanah peradaban bangsa yang sudah lama tertimbus. Mengangkat identiti bangsa hebat yang kian hebat dipersoalkan ini serta memberikan takrifan sewajarnya..

Bak kata pujangga, benih yang baik itu jika ditabur ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dicampak ke hutan menjadi gunung.

Di kala rakan graduasi memilih hanya memegang mortar board, ianya tidaklah semudah bicara tatkala menanam azam untuk menunjuk isyarat buat seisi dunia bahawasanya Melayu takkan pernah hilang sama sekali dari dunia adalah satu falsafah yang dalam mengakar. Sebak tatkala melangkah masuk ke dewan teater Sheldonian yang bersejarah. Perjuangan 10 tahun yang terbeban di atas pundak bahu terasa terangkat seketika. Hanya Allah SWT yang tahu akan perasaannya.

Terima kasih kepada abah Othman Ahmad yang turut bertanjak di hari istimewa, emak Rahmah Masbor atas doa yang tak kunjung putus, isteri tercinta Tengku Zunida yang sabar menemani perjalanan yang jauh likunya ini sehingga ke hari ini.. Anak-anak kunci syurga yang terpaksa ditinggalkan dan Panglima Faqih yang harapnya menghirup semangat juang yang bakal menobat sejarah bumi Oxford ini.

Selebihnya, biarkan lukisan alam mencipta cerita..

Menunjuk jalan membangun peradaban,
Mengangkat warisan zaman berzaman,
Oxford ku tinggal dalam bingkisan,
Biar diingat rakan dan lawan…

Salam Juang!


Tahniah diucapkan buat Khair Razlan Othman di atas pencapaian beliau. Semoga usaha murni seperti ini menjadi contoh buat semua rakyat Malaysia.