Budak Lelaki Sanggup Simpan Duit Sebulan Untuk Bayarkan Yuran, Tak Sanggup Tengok Kawan Berhenti KAFA

Tidak dapat dinafikan, sekali sekala bila melihat keikhlasan persabahatan kanak-kanak di sekolah boleh menyentuh perasaan kita yang dewasa. Sanggup susah senang bersama-sama.

Begitulah sifat kanak-kanak jika dididik dengan baik oleh ibu bapa. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kanak-kanak juga diibaratkan sebagai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan keperibadian mereka.

Lebih kurang sama seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang bapa bernama Nasaie Ismail di Facebook. Menerusi satu hantaran yang dibuat, anaknya gigih menabung dan membuat simpanan selama sebulan.

Rupa-rupanya, duit itu adalah untuk menampung bayaran yuran kelas KAFA rakan baiknya di sekolah tersebut.

“Semalam Yusuf minta RM20, untuk genapkan simpanan dia selama sebulan yang dah capai RM80. Tujuannya nak bayarkan yuran kawan. Bulan lepas dia maklumkan sedih, ada kawan nak berhenti sekolah petang (kelas KAFA) sebab tak mampu bayar yuran.”

Menurut Nasaie, anaknya Yusuf  telah menceritakan hasratnya untuk membantu rakan sebayanya sejak sebulan yang lalu. Bagaimanapun, Yusuf enggan mengulas panjang tentang latar belakang rakannya itu.

Yusuf berjaya menabung duit perbelanjaan sekolah hariannya dan duit yang diberikan oleh ahli keluarga seperti datuk dan neneknya.

“Dapatlah RM80. Yuran nak dibayar RM100. Alhamdulillah petang ni InsyaAllah Yusuf akan bayarkan yuran untuk kawannya.”

Nasaie akui, sebagai seorang bapa, dia bangga melihat sifat suka membantu insan yang memerlukan yang ada pada diri anaknya walaupun baru berusia 12 tahun.

“Kadangkala apabila tengok anak anak sebegini akan menyedarkan kita bahawa ukuran yang kita letakkan pada setiap anak-anak tidak boleh sama. Terutamanya dalam akademik. Bukan semua anak anak mempunyai keupayaan yang sama. Tetapi setiap anak anak pastinya dijadikan dengan kelebihan tersendiri yang unik dan perlu diraikan kelebihan tersebut.”

Hantaran yang tular di laman Facebook