Bersendirian Pilih ‘Make Up’ Raya Buat Isteri Tercinta, Lelaki Ini Raih Pujian Netizen

Mendapat suami yang menghargai setiap pengorbanan isteri adalah satu perkara yang diidamkan para wanita apatah lagi bila menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, pelbagai persiapan yang perlu dilakukan.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baur ini dimana seorang lelaki bersendirian membeli alat solek buat isteri tercinta mencuri perhatian ramai.

Dek kerana tidak terlalu tahu tentang jenis alat solek, dia juga meminta pertolongan daripada kakitangan kedai alat solek untuk membantunya membuat pilihan barangan yang mahu dihadiahkan buat isteri tersayang.

Memetik laporan mStar, pemilik kedai alat solek BYO Kosmetik, Mohd Fazrin A Zuhari berkata, video berkenaan dirakam oleh salah seorang kakitangannya pada minggu lalu.

“Pakcik ni buat kami tersentuh hati dengan caranya melayan isteri,” ujarnya di ruangan kapsyen.

“Saya pun ada di kedai ketika itu. Hairan juga saya ketika nampak pakcik ini melangkah masuk ke kedai… berseorangan pula itu. Iyalah selalu pelanggan kami terdiri daripada golongan wanita. Kalau ada lelaki pun, kebanyakannya yang teman pasangan masing-masing.”

“Kakitangan saya segera pergi mendapatkan pakcik tersebut untuk membantunya sebab dia seperti sukar buat pilihan. Dalam waktu yang sama, saya minta kakitangan lain rekod video sebab bagi saya ia sesuatu yang tak pernah berlaku di kedai kami.”


“Pakcik tu tak sedar dia dirakam pun. Menurut kakitangan saya, pakcik tu tahu mengenai kedai kami daripada Facebook. Dia minta bantu pilihkan dan staf saya suggest apa yang sesuai untuk isterinya berdasarkan serba sedikit penerangannya,” ujar pemuda berusia 30 tahun ini.

Cerita Mohd Fazrin, lelaki tersebut membeli set alat solek yang kesemuanya bernilai lebih daripada RM200.

“Bagus sangat pakcik itu pandai menghargai isteri dia. Dia tahu kegemaran isterinya atau orang perempuan ni antaranya alat solek, jadi dia beli untuk buat kejutan.”

“Bagi saya pakcik ini mungkin ibarat satu dalam 10,000 lelaki. Kalau suami lain, mungkin mereka teman atau duduk luar kedai sahaja. Tapi pakcik tu tak segan datang seorang, siap minta bantuan kita lagi,” ujarnya.

Video yang tular di laman TikTok:

Bercerita mengenai BYO Kosmetik pula, Mohd Fazrin berkata dia dan isterinya, Nur Izzati Syazwani Ibrahim, 30, mengasaskan kedai berkonsepkan ‘one stop centre’ perkakas solekan sejak 2017.

“Kami mula dengan berniaga secara online dahulu, kemudian sambutannya menggalakkan, kami bina kedai ala-ala pasar raya dua tingkat… ia ibarat one stop center alat solek.

“Di tingkat bawah adalah untuk pelanggan yang walk-in, manakala tingkat atas pula pejabat operasi. Kalau nak tahu, kedai ini dalam kampung saja di pekan Jelawat tapi Alhamdulillah, tak putus-putus pelanggan datang sama ada beli runcit atau borong.

“Saya anak tempatan, isteri pun anak tempatan. Kami sama-sama dari Bachok, Kelantan. Kiranya kedai ini dari anak tempatan untuk anak tempatan. Istimewanya kedai kami kita bagi harga borong,” ujarnya lagi.