Nampaknya persaingan di antara filem tempatan sekarang semakin sengit. Semalam, Hantu Kak Limah umum pecah rekod kutipan tertinggi mereka sebanyak RM35 juta.

Syamsul Yusof pula berkongsi berita gembira bersama pengikutnya di laman Instagram, menyatakan bahawa kini kutipan tiket Munafik 2 sudah pun mencapai RM21.6 juta.

Lebih mengejutkan, jumlah tersebut berjaya dikumpul hanya dalam 4 hari tayangan sekaligus memecahkan rekod kutipan hujung minggu tertinggi di Malaysia. Sama ada filem ini mampu menangani jumlah kutipan Hantu Kak Limah masih belum diketahui.

Namun jika dilihat secara lebih mendalam, dua filem yang berjaya mendapat kutipan tinggi ini adalah filem yang mempunyai peminat tetap melalui filem-filem terdahulu. Peminat yang setia yang mengharapkan jalan cerita lebih mantap dan ingin mengetahui konflik seterusnya yang terjadi mungkin antara faktor mendorong penonton ke pawagam.

Rata-rata komen yang dikongsikan oleh Syamsul di Instagram adalah komen positif. Tidak dinafikan Hantu Kak Limah dan juga Munafik 2 ini turut mendapat pandangan berbeza penonton namun jumlahnya adalah sangat sedikit dan minoriti saja. Selera lain-lain, bukan? Apa pun, tahniah buat industri perfileman tanah air.

Sinopsis Filem Munafik 2

Dua tahun selepas peristiwa dalam filem pertama, lautan kehidupan Ustaz Adam (Syamsul Yusof) kembali tenang selepas dihantu oleh kematian isteri dan anaknya. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu golongan yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat.

Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu pada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria. Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan.

Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah (Maya Karin) dan anak perempuannya, Aina. Sakinah terpaksa menjaga anaknya yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan padanya ditambah pula dia dan anaknya beberapa kali diganggu syaitan.

Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abu Jar (Nasir Bilal Khan), seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama. Abu Jar mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada Islam adalah musuh Abu Jar.

Abu Jar menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam. Kedatangan Ustaz Adam ke kampung seberang telah menimbulkan kemarahan Abu Jar.

Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abu Jar yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

Trailer Filem Munafik 2

Sumber Rujukan: rotikaya.com