Azfar Heri Mohon Maaf Muat Naik Foto Sebungkus Kacang MAS, Dakwa Tidak Tahu Ada SOP

Sosial media merupakan suatu platform yang digilai oleh orang ramai terutamanya anak muda pada zaman kini. Namun begitu, tidak semua ‘benda’ kita boleh muat naik di sosial media demi kepentingan masing-masing.

Baru-baru ini, seorang Instafamous bernama Azfar Heri telah tampil memohon maaf berhubung dengan isu sebungkus paket kacang yang diterimanya di kapal penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di laman Twitter dan Instagramnya.

Berdasarkan hantaran yang telah dibuat, Azfar Heri yang mempunyai lebih 1.2 juta pengikut itu menyatakan bahawa dia tidak tahu menahu mengenai Standard Operating Procedure (SOP) yang tidak membenarkan penumpang menerima lebih daripada 1 paket sahaja kacang tersebut.

Menurut Azfar, kacang itu diberikan secara percuma kepadanya dan dia tidak meminta langsung sebarang paket kacang itu sepanjang dia berada di dalam kapal MAS itu.

Walau bagaimanapun, pemuda berusia 24 tahun ini kesal dan mengakui silapnya kerana memuat naik foto sebungkus plastik kacang itu di laman sosial miliknya.

Walhal tujuan asalnya memuat naik foto tersebut hanyalah untuk menghargai pemberian yang telah diberikan kepadanya itu.

“Saya faham ramai yang marah berkenaan isu kacang MAS. Ini adalah penjelasan saya. Saya ingin memberi sepenuh kerjasama dengan pihak MAS sendiri untuk mengenal pasti situasi sebenar pramugari tersebut,” kata Azfar.

Di samping itu, Instafamous ini turut menjelaskan bahawa dia ingin mendapatkan kepastian mengenai kesahihan pramugari yang dikatakan telah diambil tindakan dan diberhentikan oleh pihak MAS disebabkan tindakannya yang jelas melanggar SOP itu.

Menerusi hantaran berkenaan, terdapat beberapa individu yang mengeluarkan kenyataan yang berupa sedemikian mengatakan bahawa pramugari tersebut telah dikenakan tindakan dan dibuang kerja disebabkan melanggar etika bekerja.

“Kedua, berkenaan dengan statement yang mengatakan pramugari tersebut dibuang, saya cuba nak kenal pasti kesahihan statement ini terlebih dahulu sebelum ada lagi banyak salah faham dari semua pihak.” terang Azfar lagi menerusi kapsyen di Instagramnya.

Azfar Heri turut memaklumkan bahawa dia akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak MAS dan berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan sewajarnya.

Oleh itu, kita sebagai pengguna media sosial perlu ambil pengajaran daripada isu ini agar sentiasa berhati-hati dalam memuat naik sesuatu ‘content’ bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.