Ayah Kongsi Detik-Detik Sebelum Kehilangan Jude Angel, “Dia Panjat Saya, Saya Peluk & Dodoi Dia”

Gempar beberapa hari lepas di seluruh platform media sosial apabila menerima khabar seorang bayi perempuan bernama Jude Angel hilang.

Kehilangan kanak-kanak berusia 18 bulan itu telah mendapat perhatian ramai terutama sekali individu yang bergelar ibu bapa di luar sana.

Menurut sumber, Jude hilang di Beaufort, Sabah. Namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda penemuan walaupun operasi pencarian giat dijalankan.

Jerema Sundang, 39 iaitu bapa kepada Jude tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan kali terakhirnya bersama Jude.

Jeremy yang juga seorang petani menceritakan serba sedikit tentang kronologi kejadian yang melibatkan anak kesayangannya itu.

Katanya, pada awal pagi Sabtu (9 Julai), dia meninggalkan rumah mereka di daerah Beaufort Barat untuk bekerja. Namun, tiba-tiba sahaja Jude menangis seolah-olah memberi petanda.

“Dia memanjat seluruh badan saya jadi saya dapati ia agak pelik kerana dia biasanya tidak melakukannya.

“Jadi, saya membedungnya dalam pelukan sebelum mendodoinya perlahan-lahan untuk tidur,” katanya sambil mengesat air mata.

“Jika difikirkan kembali, itu mungkin semacam petanda,” kata Jeremy di rumahnya di Kampung Saliwangan Baru pada Khamis (14 Julai)

Dia enggan berputus asa mencari anaknya itu walaupun mengalami tekanan keluarga serta penyelamat yang gagal menemui Jude meskipun masuk hari keenam ketika itu.

“Harapan saya masih tinggi…rasa saya dia masih hidup,” katanya.

Jude, anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan hilang kira-kira jam 11 pagi Sabtu (9 Julai) selepas keluarganya gagal mengesannya. Sebelum itu mereka dapati pintu depan rumah mereka terbuka.

Jude berkemungkinan terjatuh ke dalam Sungai Padas atau sesat di dalam hutan sekitar rumah mereka yang agak terpencil.

Jeremy berkata kehilangan Jude merupakan mimpi yang paling ngeri buatnya.

Isterinya yang juga seorang petani telah keluar lebih awal untuk menaiki kereta api ke bandar Beaufort, kira-kira 30 km jauhnya untuk menjual hasil mereka di tamu daerah mingguan (pasar tradisional) dan Jeremy sudah menunggu isterinya di sana ketika itu dengan kereta.

“Saya sedang duduk di dalam kereta menunggunya selepas jam 8 pagi, isteri saya tergesa-gesa menyuruh pulang, dia memberitahu saya ‘balik-balik cepat’ (jom pulang cepat).

“Ada orang menghubungi kami, mengatakan Jude telah hilang. Kami segera pulang dan meninggalkan jualan kami,” katanya.

Setibanya di rumah, Jeremy berkata naluri pertamanya ialah mencari di kolam kecil yang terletak berhampiran rumah mereka.

“Saya menyelam beberapa kali di dalam kolam tetapi saya tidak menemui sebarang kesan.

“Dia tidak pernah merayau jauh sebelum ini. Paling jauh dia pergi adalah ke sebuah pondok di sebelah rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Jeremy bersyukur dengan bantuan semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari Jude seperti anggota polis, Bomba, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam serta sukarelawan dan penduduk kampung.

Dalam pada itu, dia ditawarkan bantuan “cara ghaib” tetapi terpaksa menolak dengan sopan kerana mahu berpegang pada kepercayaan mereka sendiri dalam mencari Jude.

“Ada yang datang dari jauh, cuba menggunakan pengetahuan mereka untuk mencari Jude dan mahu kembali semula selepas gagal mengesannya.

“Tetapi kami terpaksa berkata tidak. Bukan kami tidak mahu bantuan mereka, kami menghormati niat suci mereka dan berterima kasih kepada mereka untuk itu.

“Tetapi selepas bercakap dengan gereja kami, kami lebih suka berpegang pada iman kami. Kami berasa sedih untuk menolak tawaran mereka tetapi mereka juga memohon maaf, mengatakan mereka tidak mahu memaksa ini kepada kami,” kata Jeremy.

Video yang tular di laman TikTok

@lady_viervella Ayah adik #JudeAngel cerita sblm kejadian mereka suami isteri nak keluar pekan hantar jualan tp adik Jude nangis² & si ayah tidurkn bru jln htr jualan.Jatuh airmata ayah kenangkan nasib anak..Semoga dipermudahkn urusan hr ni dan ditemukn adik Jude #judeangel #beaufort #kgbatu65saliwanganbaru ♬ original sound – Vie_R’vella Albert