Awie Luah Rasa Industri Seni ‘Dilacuri’, Memalukan Nama Malaysia

Industri seni di Malaysia kini hampir dikenali di seluruh rantau Asia. Namun begitu, masih ada individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan ‘seni’ untuk kebaikan dan agenda mereka yang tersendiri sehinggakan membawa nama buruk terhadap industri seni ini.

Memetik laporan mStar, salah seorang artis industri tanah air kita, Ahmad Azhar Othman, 54, atau lebih dikenali sebagai Awie, meluahkan rasa kecewa dengan trend segelintir usahawan serta TikToker yang menggunakan seni ini untuk tujuan ‘marketing’ mereka semata-mata.

Beliau juga turut menyatakan bahawa beliau tidak dapat menjangka apa yang akan terjadi dalam industri seni suara selepas individu yang kurang layak ini menceburi bidang seni suara dengan kuasa wang.

“Apa nak jadi dengan industri muzik kalau mereka melacuri industri ni dengan teruknya, teruk sangat tahu tak!

“Tiba-tiba stesen TV pakai lagu mereka untuk program, radio pakai lagu mereka untuk pasang walhal mereka bukan penyanyi, nak bercakap pun tak sedap apatah lagi nak menyanyi,” ulas lanjut Awie mengenai isu tersebut.

Menurut salah seorang ahli kumpulan Wings ini, ‘orang berduit’ yang dimaksudkan olehnya juga dengan mudah membuat kontroversi murahan iaitu dengan menggunakan elemen sensitif.

Dengan tujuan, untuk mempromosikan lagu yang dihasilkan oleh mereka menjadi tular dan akhirnya menjadi ‘buah mulut’ netizen serta ditegur oleh ahli-ahli ulama’.

Walau bagaimanapun, perasaan malu dalam diri seakan sudah hilang malah dilihat seperti bangga diri dengan tetap melakukan hal yang sama berulang kali sehingga netizen pun berasa ‘muak’.

“Tiba-tiba datang orang berduit menghancurkan industri. Rosak! Alim ulamak pun marah, netizen hentam, dia lagi bangga diri. Kau tak kesian ke?

“Kalau kau tak berkemampuan untuk membuat sesuatu yang elok, kau laburkan kepada mereka yang lebih elok. Cari orang yang betul-betul boleh nyanyi untuk produk engkau,” tegasnya.

Difahamkan, Awie turut menyatakan bahawa tindakan founder dan TikToker itu memalukan nama negara kerana karya yang dihasilkannya itu kini dimuat naik di platform digital yang boleh diakses meluas oleh pengguna di seluruh dunia.

“Kau tak malu ke nama Malaysia buruk kerana kau? Kau nak dapat rating kau, viewers untuk kau tapi kau hancurkan nama Malaysia dan nama Melayu khususnya orang Islam. Malu dik!” jelas Awie.

Akhir kata, Awie berharap agar individu yang terbabit sedar akan tindakan yang telah dilakukan oleh mereka kerana tindakan mereka itu sedikit sebanyak menggangu ‘periuk nasi’ orang industri seni suara ini, terutamanya bagi mereka yang baru dalam bidang seni ini.

“Bagi peluang adik-adik yang mencari makan dari industri seni, datang dari orang susah kau datang menyusahkan mereka lagi. Jangan satu hari nanti ia berbalik kepada engkau pula,” pesan Awie kepada mereka yang berkenaan.

 

Video wawancara Awie: