“Awak merajuk ke tengah sembahyang?” Tak Boleh Makan Daging, Kanak-kanak Merajuk Bikin Terhibur

Selalu kita lihat kanak-kanak kecil lebih mudah terasa jika ditegur oleh ibu bapanya sendiri, lagi-lagi kanak-kanak itu merupakan anak bongsu dalam keluarga tersebut.

Seperti satu klip video yang dimuatnaik seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Ahmad Fikry memaparkan telatah kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, yang merajuk setelah dibebel oleh ayahnya.

Menerusi video yang berdurasi satu minit itu, memaparkan gelagat kanak-kanak itu yang hanya mendiamkan diri dan ‘berpeluk tubuh’ tanda ‘protes’ dengan apa yang telah dikatakan oleh ayahnya.

Kisahnya bermula, apabila si anak berkeras untuk makan daging walaupun usianya yang masih kecil ditambah pula, dengan keadaan giginya yang tidak mengizinkan.

“Papa tegur awak sebab sayang, tak bolehlah macam ni tegur sikit merajuk, tegur sikit merajuk. Dah daging tu keras, awak punya gigi dua batang depan tu dah hilang, ni awak nak mengunyah.

“Awak mengunyah pun tak betul lagi, lepastu awak nak makan daging macam orang besar.”

Apa yang lebih kelakar, apabila anaknya hanya terdiam seribu bahasa dan terpaksa akur dengan segala arahan yang telah diberikan olehnya.

“Orang suruh makan nasi, taknak makan nasi, bila ditegur awak merajuk, merajuk, merajuk, merajuk.

Pada masa yang sama, si ayah sempat berjenaka dengan si anak dan memberikan nasihat supaya anaknya matang seiring dengan usianya.

Jelas si ayah lagi, dia risau jika anaknya makan daging tersebut yang akan memberikan kesan yang tidak baik buat anaknya.

“Awak dah dua tahun kena matanglah sikit.  Papa cakap dengan awak ni, awak nak berdiri tegak tu sampai pukul berapa? Awak taknak masuk tidur ke?

“Awak tengah merajuk ke tengah sembahyang?

“Kang awak batuk malam-malam time nak tidur macam mana. Daging tu makanan orang tua, bukan semua benda boleh masuk ke dalam mulut awak.”

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut terhibur melihat telatah kanak-kanak kecil itu.

Klip video tersebut telah berjaya memperoleh lebih 25.4k retweet, ditonton lebih 500k, dan 24.3k tanda suka.