Angkara Pemandu Myvi Positif Dadah, Anggota TLDM Maut Tinggalkan 3 Anak Kecil

Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berdekatan Plaza Pelangi, Johor Bahru semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara, Kulai selepas solat Asar.

Kehilangan Mohd Rizal Buseri yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengundang simpati orang ramai, apatah lagi arwah pergi meninggalkan isteri serta tiga orang anak yang masih kecil.

Memetik laporan Kosmo! Online, kakak ipar mangsa dikenali sebagai Farhana Amir berkata, arwah baru menyambut ulang tahun kelahiran anak sulungnya beberapa hari lalu selain kerap berdiam diri.

“Dia (mangsa) ada tiga anak berusia lima, dua tahun dan lapan bulan,” katanya.

Menerusi laman Facebook, salah seorang sahabat arwah yang dikenali sebagai Siti Nuraisha turut terkejut mengenai kejadian tersebut dengan memuat naik beberapa posting ucapan takziah.

Terbaru, polis telah menahan pemandu Perodua Myvi yang terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, di sini semalam, hingga menyebabkan lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia.

Difahamkan pemandu itu adalah wanita berusia 23 tahun. Kemalangan terbabit tular di media sosial selepas kereta berkenaan hilang kawalan dan melambung sebelum merempuh dua kereta lain hingga terbalik.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, ujian saringan ke atas pemandu itu mendapati dia positif dadah dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia yang sudah ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan kira-kira 9 pagi itu berlaku apabila pemandu Perodua Myvi hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelum merempuh Honda Accord dan Proton Iswara di persimpangan lampu isyarat menghala Plaza Pelangi.

“Akibatnya, Perodua Myvi dan Honda Accord terbalik dan pemandu Honda Accord di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pemandu Proton Iswara berusia 78 tahun pula cedera.

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, pihaknya sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi dan mengeluarkan mangsa yang berada di Honda Accord.

“Mangsa berusia 31 tahun tersepit di bahagian pemandu dan kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya memberitahu operasi ditamatkan pada 10 pagi.