Syukur Akhirnya Discaj, Dr Zulkifli Beri Sumbangan dan Hadiah Khas Buat Warga Hospital

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan bahawa beliau telah pulih sepenuhnya dari jangkitan COVID-19 dan dibenarkan discaj dari Hospital Tuanku Ja’far  pada petang ini.

Menerusi perkongsian terbaru di Twitter miliknya, Dr. Zulkifli menitipkan penghargaan serta buah tangan buat warga Hospital Tuanku Ja’far yang telah menguruskan beliau sepanjang menerima rawatan di situ.

Memberikan sedikit sumbangan dan buku yang bertajuk ‘Inilah Doaku’ sebagai kenangan, Dr. Zulkifli juga mendoakan kebaikan kepada mereka.

“Saya tak ada apa-apa nak berikan sebagai buah tangan buat warga Hospital Tuanku Ja’far yang menguruskan saya sepanjang menerima rawatan di sini sehinggalah pulih sepenuhnya hari ini.

“Saya doakan semua warga HTJ dimurahkan rezeki, dinaikkan pangkat, dikurniakan keluarga yang memahami, hati yang sabar dan jiwa yang kuat dalam perjuangan ini.

“Yakinlah Allah SWT menilai setiap titisan peluh dan air mata anda yang tertumpah demi perjuangan ini.

“Harap dengan sedikit sumbangan dari saya, beserta buku “Inilah Doaku” susunan saya, dapatlah ia menjadi kenangan berharga buat anda semua.

“Buku “Inilah Doaku” adalah antara buku yang teristimewa di hati saya. Saya mula menyusunnya seawal PKP untuk berkongsi dengan umat Islam, doa-doa yang ma’thur dan sesuai dengan suasana pandemik ini.

“Maha Suci Allah yang menggerakkan hati saya untuk menyusun doa ini; akhirnya turut saya amalkan sepanjang berada dalam rawatan COVID-19 di sini.”