“Kalau mak meninggal, tunjuk dekat dia kubur mak” Pemuda Rayu ‘Along’ Pulang, Ibu Hilang Sebelah Kaki

Bagi seorang ibu, berjauhan dengan anak-anaknya bukanlah sesuatu yang mudah. Selain harus menahan perasaan rindu, mereka juga sedikit sebanyak pasti merisaukan kita.

Itulah sifat seorang ibu yang selalu menyayangi kita dan inginkan yang terbaik. Walaupun berjauhan, doa seorang ibu sentiasa mengirinya anaknya.

“Susah nak maafkan diri sendiri dengan apa yang terjadi dekat mak. Along… semoga terbuka hati untuk balik.”

Begitulah luahan Muhammad Shafiq Ruzalli apabila abangnya yang dipanggil Along tidak pulang ke rumah untuk menjenguk kedua ibu bapanya selama 20 tahun.

Walaupun sudah genap 20 tahun terputus hubungan dengan abang sulungnya, pemuda yang mesra disapa Afiq ini tidak berputus asa mencari abangnya di media sosial.

Kegigihan Afiq dalam menemukan abangnya itu mengundang sebak ramai. Menurut Afiq, 30, abang sulungnya mula memutuskan hubungan dengan keluarga pada 2002.

“Dia anak sulung yang tak balik rumah sampai sekarang… dah masuk 20 tahun. Dia tak balik atas dasar tak nak menyusahkan mak dengan ayah.

“Sebabnya along ni anak yang agak ‘nakal’. Banyak kali kena tangkap dengan polis dan dimasukkan ke penjara.

“Duit ayah banyak dihabiskan untuk jamin dia saja. Jadi dia buat keputusan masa kena tangkap polis tu untuk dipenjarakan saja,” katanya tanpa mengulas panjang.

Walaupun niat abangnya baik, tindakannya itu tersebut ibu mereka bersedih menahan rindu.

“Kami tak dapat nak hubungi dia sebab tak ada nombor telefon. Akaun media sosial dia pun kami tak pernah jumpa sampailah sekarang.

“Walaupun dah 20 tahun tak pernah tanya khabar, tapi kawan-kawan dia ada juga beritahu kerap ternampak dia cuma tak tahu dia tinggal di mana.

“Mak terlalu rindu dekat abang sampai kerap jatuh sakit. Keadaan mak sekarang cuma hanya terbaring dan berat badan turun dengan mendadak,” katanya yang tinggal di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Afiq berkongsi tentang keadaan ibunya yang kini sedang sakit sehingga terpaksa menjalankan pembedahan memotong sebelah kaki akibat diabetes.

Pada mulanya ibu Afiq enggan berjumpa doktor, namun memandangkan keadaan kaki yang semakin parah sehingga berbau membuatkan mereka terpaksa menghantarnya bagi mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

“Hidup along akan jadi lebih bahagia lepas jumpa mak, selagi mana along tinggalkan mak, selagi tu tak bahagia long”, kata netizen.

“Mak ada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan darah tinggi. Pada satu hari tu kaki kanan mak tiba-tiba jadi bengkak. Mak cuma sapu krim dan makan ubat saja sebab bukan luka cuma jadi kemerah-merahan.

“Lama-kelamaan jadi bernanah dan merebak dengan cepat sampai berbau bahagian luka yang berlubang tu. Doktor beritahu yang kuman sudah mula merebak dengan teruk dan kena potong kaki mak sampai paras bawah lutut.

“Jadinya kaki kanan mak terpaksa dipotong masa bulan Ramadan lalu. Sebelum ni kalau mak ada luka apa-apa tak kira dekat tangan atau kaki, cepat saja sembuh. Kali ini Allah dah takdirkan kena potong. Kami sekeluarga reda,” kata Afiq.

Setakat ini, video yang dimuat naik Afiq berkenaan pertelingkahan yang berlaku antara ibu dan abangnya di TikTok berjaya mencapai 1.2 juta tontonan!

Afiq turut memberitahu niatnya membuat video itu adalah dengan harapan abangnya akan melihat keadaan ibu mereka dan segera pulang ke rumah.

Tahap kesihatan ibunya yang semakin merosot membuatkan dia semakin rasa terkilan mengenangkan abangnya yang belum pulang menziarahi ibu mereka.

“Inilah saat kami adik-beradik berebut nak jaga mak sebab itu saja jalan pintu ke syurga yang kami ada. Selagi ada kudrat selagi tu kami jaga mak.

“Saya berharap dengan video tu boleh membuatkan along terbuka hati untuk balik. Saya banyak update video tentang kesihatan mak dekat TikTok pun bukan nak raih simpati tapi supaya dia tengok dan tahu situasi mak macam mana sekarang,” kata Afiq.

Sementara itu, netizen turut sama berdoa agar abang sulung Afiq terbuka hati untuk pulang ke dakapan ibu mereka selagi belum terlambat.

Video yang tular di laman TikTok

@afiqqkhannSusah nak maaf kan diri sendiri dengan apa yg jadi dekat mak💔💔 along. Semoga terbuka hati untuk balik♬ 1000 tahun – mimi