‘Abang Viva’ Penerima Darjah Kebesaran Negeri, Jasa Bakti Bantu Mangsa-Mangsa Banjir

Sempena sambutan ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Melaka, ramai insan yang berjasa telah dikurniakan pingat kebesaran daripada negeri Melaka. Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka itu telah diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri yang bertempat di Ayer Keroh.

Walau bagaimanapun, siapa sangka ‘Abang Viva’ yang tular pada Mac lalu juga berjaya mendapat penghargaan besar tersebut.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva merupakan antara senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri bersempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Difahamkan, Abang Viva dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) disebabkan jasa beliau yang tidak putus membantu mangsa-mangsa banjir.

Penerimaan pingat itu turut disaksikan oleh ibunya Norbibah Hashim, 67, yang hadir menemani anaknya itu untuk menerima pingat kebesaran itu.

Abang Viva ini hangat diperkatakan oleh masyarakat kerana dianggap sebagai ‘wira banjir’ atas usaha beliau yang sanggup membantu mangsa banjir bermula di Puchong kemudian diikuti di Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang.

Hanya bergerak ‘solo’ bersama Perodua Viva yang membawa bot getah, dan hanya berbekalkan RM 50 sahaja pada ketika itu, usaha beliau membantu mangsa banjir di Selangor dari Melaka telah tular di rata-rata laman media sosial.

Bukan itu sahaja, sebuah syarikat yang berbesar hati untuk memberi sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda kepada Abang Viva bagi memudahkan urusan beliau untuk menjalankan misi bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengetuai istiadat tersebut bersama 883 senarai penerima darjah kebesaran Negeri apabila beliau telah dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Sekadar info, Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri juga telah dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Dalam acara istiadat yang sama, Suhaimi A. Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search turut termasuk antara 163 senarai penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.