9 Pelajar Senior Ditahan, Pukul Junior Sehingga Cedera Parah

Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah bukanlah satu perkara yang luar biasa kita dengar. Oleh hal demikian, pihak yang berwajib harus berusaha sedaya upaya mengambil langkah bagi membanteras kegiatan negatif ini daripada terus menerus berlaku.

Memetik laporan Harian Metro, sembilan pelajar senior telah ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan akibat mencederakan pelajar junior di sesebuah sekolah bertempat di Perak.

Difahamkan, mereka telah didakwa kerana mencederakan mangsa yang berusia 14 tahun dan mengakibatkan kecederaan yang parah terhadap mangsa.

Kesalahan itu telah dibuat oleh sekumpulan pelajar senior itu di sebuah asrama lelaki pada 12.30 tengah malam 23 Jun lalu di salah sebuah sekolah menengah di lokasi terbabit.

Pertuduhan itu dibuat berdasarkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Azalea Sharmeen Zaizan, mengendalikan pendakwaan kes tersebut.

Manakala tertuduh pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Francis Sinnappan.

Dikatakan, mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM 2,000 kepada setiap tertuduh dan tarikh 5 Oktober telah ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelumnya, berlaku juga kes buli yang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipukul oleh 10 pelajar senior.

Sekumpulan pelajar itu telah didakwa turut menggunakan seterika panas terhadap mangsa di salah sebuah sekolah menengah berasrama.

Siasatan awal telah mendapati insiden tersebut berlaku bermotifkan rasa cemburu kerana mangsa berbual dengan salah seorang pelajar perempuan yang dikatakan teman wanita salah seorang pelajar senior itu.

Bukan itu sahaja, terdahulu juga terdapat suatu kes di mana seorang pelajar sekolah didapati telah dipukul oleh pelajar senior sehingga menyebabkan gegendang telinganya pecah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, kejadian itu telah berlaku disebabkan perasaan tidak puas hati pelajar senior berkenaan selepas mangsa dikatakan mengadu kegiatan menghisap ‘vape’ mereka kepada guru.

Seramai 11 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun yang tinggal di sekitar Bandar Chukai ditahan bagi membantu siasatan lebih lanjut.

“Kesemua mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” jelas Hanyan berhubung dengan kes berkenaan.

Maka dengan itu, kes buli yang semakin mencanak naik ini harus diambil serius oleh semua pihak bagi menghapuskan kegiatan tidak bermoral ini berlaku kepada sesiapa lagi.