Ibu Tunggal Mengemis 3 Tahun, Sukar Bekerja Disebabkan Penyakit Asma Kronik

Masalah ibu tunggal ini sering menjadi buah mulut masyarakat disebabkan pelbagai kesan yang diterima oleh si ibu sendirian. Tambahan pula, kos sara hidup yang semakin meninggi setiap tahun menyebabkan masalah mereka semakin bertambah.

Memetik laporan Kosmo, didapati seorang ibu tunggal terpaksa mengemis bersama anaknya selepas kematian suaminya, dan tidak mendapat apa-apa pekerjaan disebabkan penyakit asma yang dihidapi olehnya.

Difahamkan, Norazahalena Hassan, 43, sudah mengemis bersama anak lelakinya, Muhammad Saiful Nizam Ku Suhaimi, 4, sejak tiga tahun lalu di sebuah stesen minyak yang terletak di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ibu tunggal tersebut menyatakan bahawa dirinya sudah ‘kebal’ dengan jelingan dan kata-kata negatif daripada orang awam kerana apa yang penting baginya ialah makanan untuk dijamah walaupun sesuap nasi untuk dia dan anaknya itu.

“Saya hanya mahu pastikan anak saya cukup makan, ada tempat tidur. Kalau saya tak mengemis, tiada orang datang bantu dan kami akan kelaparan.

“Suami saya meninggal dunia hujung 2019 akibat kemalangan dengan treler dan sejak itu kami hilang tempat bergantung.

“Saya terpaksa berpindah dari rumah sewa di Puchong disebabkan tidak mampu menampung sewa bulanan dan kini berteduh di bilik kecil dengan bayaran RM25 sehari,” terang Norazahalena.

Menerusi kenyataan Norazahalena, dia berasa segan untuk meminta bantuan daripada keluarga mentuanya yang menetap di Kedah kerana tidak mempunyai saudara mara lain, dan ayahnya pula telah meninggal sejak lapan tahun yang lalu.

Norazahalena dikatakan pernah bekerja sebagai pembantu kedai makan, walau bagaimanapun dia tidak dapat meneruskan kerjayanya itu lagi.

Hal ini disebabkan rata-rata majikannya berasa kurang senang apabila dia sering meminta cuti sakit akibat serangan asmanya itu lantas menjejaskan prestasi kerjanya.

“Saya menghidap asma kronik sejak kecil dan sekarang ia semakin teruk dan menyukarkan saya untuk melakukan kerja,” jelasnya.

Dikatakan, dia dan anaknya akan duduk di stesen minyak itu pada setiap hari untuk meminta sumbangan bermula pada pukul 8 malam.

“Saya berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu kami menyediakan tempat tinggal le­bih selesa,” tambahnya lagi.

Jika sesiapa yang ingin membantu keluarga kecil ini, anda boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank atas nama Norazahalena di nombor 168603088814 atau boleh mene­muinya di salah sebuah stesen minyak di Jalan Chow Kit.