Remaja OKU Jatuh & Retak Bahagian Muka, Ibu Mangsa Ditahan Gara-Gara Abaikan Anak

Memiliki anak istimewa atau Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu diberikan lebih perhatian kepada mereka. Lantas, para ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing agar kebajikan anak istimewa ini terjaga dan disayangi sepenuhnya.

Baru-baru ini, seorang remaja lelaki OKU autisme yang berusia 13 tahun telah terjatuh daripada bangunan kediamannya.

Difahamkan, remaja lelaki itu dilaporkan telah terjun dari bangunan kediamannya itu ketika ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di rumah.

Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisisten Komisioner Mohamad Farouk Bin Eshak, mangsa telah terjun dari tingkat satu bangunan pangsapurinya di Taman Melawati dan telah terjatuh di atas sebuah kereta.

“Mangsa telah mengalami kecederaan dan menerima lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan serta kesan retak pada tangan dan muka.

“Dipercayai, semasa kejadian, pengadu (ibu mangsa) telah tinggalkan mangsa seorang diri di kediaman sejak 2 September pada jam 9.15 malam kerana membawa anak perempuannya yang berumur lima tahun pergi latihan renang dan bermalam di sebuah hotel di Damansara,” jelas beliau.

Remaja lelaki itu dikatakan masih dirawat di wad 5D di Hospital Ampang.

Susulan itu, ibu mangsa yang juga merupakan suspek kejadian itu telah ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di sini.

Ibu mangsa yang berusia 43 tahun itu merupakan seorang pekerja bahagian kewangan, dikatakan telah menerima maklumat kejadian tersebut daripada suaminya selepas berlakunya tragedi berkenaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pada 5 September bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak atau hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh sepuluh tahun atau kedua-duanya,” terang Farouk.

Dengan itu, jelaslah bahawa pengabaian anak lebih-lebih lagi terhadap anak istimewa memberikan impak negatif kepada mereka sehingga mampu menyebabkan kecederaan yang parah.

Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberikan penjagaan dan perlindungan secukupnya kepada anak-anak mereka.