7 Hari Ibu Meninggal Tapi Masih Ditahan Dalam Peti Mayat, Proses Pengebumian Tertangguh Gara-Gara Belum Selesai Bil Hospital RM19,000

Apabila berlaku kematian, sudah pasti kita ingin mempercepatkan segala urusan termasuklah dalam proses pengebumian jenazah bahkan ianya juga merupakan fitrah kehidupan.

Proses pengebumian dalam Islam juga dilakukan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam, walaupun terdapat sedikit kelainan dan perbezaan mengikut adat dan tafsiran setempat. Dalam semua kes, Syariat Islam telah menentukan yang jenazah hendaklah dikebumikan, selepas dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Namun lain punya ceritanya dengn kisah kali ini dimana jenazah seorang ibu tidak dapat dikebumikan segera gara-gara kos perubatan semasa hayat arwah di hospital belum dilangsaikan dan jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit.

Kisah sayu tersebut telah dikongsikan oleh pengasas badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma atas sumbangan masyarakat, di laman Facebook Mr Wan Cai Official.

Memetik laporan mStar, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Chai berkata, arwah merupakan warga Indonesia berusia 53 tahun, dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor sejak lebih sebulan lalu kerana dijangkiti C19.

Menurutnya, arwah yang juga ibu kepada dua anak perempuan itu meninggal dunia lebih seminggu lalu akibat komplikasi selepas sembuh daripada C19.

“Bil perubatan arwah yang perlu dibayar berjumlah hampir RM19,000 untuk kos rawatan lebih sebulan di hospital.”

“Jenazah dah tujuh hari berada dalam peti beku mayat kerana dua anak arwah iaitu pasangan kembar berusia 18 tahun tidak mampu bayar bil perubatan,” katanya

“Suami arwah merupakan pemastautin tetap meninggal dunia pada 2016, tinggal arwah dan anak-anak di Malaysia dan tiada saudara-mara lain kecuali di Indonesia,” katanya

Difahamkan wanita itu juga merupakan peniaga yang berniaga barangan runcit secara kecil-kecilan.


“Dengan kerjasama rakan-rakan UKVJ mencari jalan penyelesaian melalui beberapa proses, akhirnya bil perubatan yang perlu dibayar dapat dikurangkan dari RM19,000 kepada RM10,000.”

“Saya kemudian minta anak sulung arwah menghubungi ahli keluarga ibunya di kampung di Indonesia berikhtiar cari duit tanpa meletakkan jumlah yang perlu dikumpulkan.”

“Yang penting sama-sama usaha. Jika baki yang dikumpul masih tidak mencukupi, pihak kami akan cuba cari jalan dengan membuat kutipan derma kilat,” katanya.

Bagaimana pun, dikatakan anak arwah menghubunginya Wan Chai semula dalam beberapa jam kemudian dan memaklumkan sebanyak RM10,000 berjaya dikumpulkan.

“Keluarga arwah di Indonesia berjaya mengumpul duit yang diperlukan dalam masa yang dikira singkat.”

“Saya tak pasti sama ada mereka pinjam sana sini dengan saudara-mara atau sebaliknya. Cuma saya yakin urusan jenazah telah dipermudahkan Allah, Alhamdulillah,” katanya.

“Kasihan jenazah terpaksa diletakkan lama dalam peti mayat. Mujur Allah aturkan anak-anak arwah bertemu kami.”

“Bayangkan dah seminggu jenazah ibu mereka belum dikebumikan… jika tidak, entah berapa lama lagi. Alhamdulillah, pengebumian jenazah telah disempurnakan,” katanya.

Untuk rekod, jenazah akhirnya disempurnakan pada hari kelapan meninggal dunia, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di Klang.