7 Bulan Menetap Di KLIA2, Lelaki Syria Akhirnya Ditangkap

Seorang lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang telah ‘tinggal’ di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak bulan Mac lalu akhirnya ditahan oleh pihak polis, lapor Berita Harian.

Hassan pernah menjadi viral sebelum ini kerana terperangkap di Terminal 2 KLIA2 selama beberapa bulan. Beliau dikatakan ditamatkan visa oleh negara asalnya, Syria, kerana enggan pulang untuk berkhidmat sebagai tentera.

FB: Hassan Kontar

Kisah beliau terperangkap di KLIA2 ini hampir sama seperti sebuah filem hebat lakonan Tom Hanks, The Terminal. Perkara itu sekaligus menarik perhatian Vlogger terkenal Nas Daily untuk membuat satu video khas buat Hassan.

https://www.youtube.com/watch?v=FjjNNm0L_p0

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya akan menunggu siasatan polis selesai sebelum mengambil alih kes tersebut.

“Kita akan terus laksanakan kerjasama dengan kedutaan Syria untuk mengeluarkan dia dari negara kita.”

Mustafar berkata, Hassan masuk ke Malaysia pada Mac lalu dan selepas pasnya tamat tempoh, dia masuk ke Kemboja.

“Dia tidak mahu balik ke Syria, katanya kerana tidak mahu jadi tentera atau apa juga alasannya. Bagaimanapun, kita kena ada penutup (penyelesaian) kerana dia memalukan negara kita,” katanya.

Hassan mendakwa dirinya bimbang akan ditangkap jika pulang ke Syria. Oleh sebab itu, Hassan tekad untuk tinggal di terminal tersebut sehingga beliau diterima di mana-mana negara.

Ramai yang menyatakan rasa kasihan dengan nasib yang menimpa Hassan dan mengharapkan ada negara yang sanggup memberi kerakyatan kepadanya.