26 Tahun Terbiar, Ini Sebab Menteri Mahu Highland Tower Dirobohkan Dan Dijadikan Taman Rekreasi

Kini bangunan Highland Towers dijangka akan dirobohkan pada Jun tahun ini setelah hampir 26 tahun ia terbiar.

Perkara ini bagi membolehkan pembangunan semula dapat dijalankan di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kini Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers telah meneliti mana-mana pihak yang mampu merobohkan bangunan berkenaan.

Dana sebanyak RM2 juta juga dikatakan bakal diterima daripada pihak pemaju bagi menjalankan kerja-kerja perobohan pada Jun ini.

Sebelum ini, Zuraida telah mencadangkan agar Highland Towers dirobohkan bagi mewujudkan sebuah taman rekreasi dan cadangan ini diutarakan memandangkan struktur tanah di kawasan berkenaan tidak sesuai untuk dibangunkan perumahan.

“Sekarang pada tahap perancangan. Saya tahu kawasan itu bukan untuk bangunan, bukan untuk rumah. Ia akan dibuat taman.

“Ia strategik untuk orang Ampang. Ia dalam perancangan dan saya akan luluskan,” katanya semasa sidang media.

Zuraida dilaporkan berkata, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

Jelasnya, keadaan di kawasan runtuhan Highland Towers berada dalam keadaan mencolok mata sejak sekian lama terutama kepada penduduk di sekitarnya dan sehingga kini ia masih belum diselesaikan.

Sebelum ini juga, kementeriannya dilaporkan merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium tersebut.

Mengimbau kembali tragedi hitam satu daripada tiga blok kondominium itu runtuh yang telah menyebabkan 48 nyawa melayang pada 11 Disember 1993.