“Wayar masuk dalam jantung,” Selamat Jalani Pembedahan, Bob Lokman Kembali ke Kelantan

Penulis lirik dan pelakon popular, Bob Lokman, 56, selamat tiba di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan kira-kira jam 6.30 petang hari ini selepas selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Isnin lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dibenarkan keluar dari hospital itu Selasa lalu.

Bob ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami masalah sepanjang perjalanan ke Kelantan.

“Lega kerana semuanya sudah selamat. Saya bertolak dari Kedah kira-kira jam 10 pagi dan tidak terburu-buru untuk sampai.

“Saya akan berehat seketika dan selepas ini akan mula menerima kehadiran tetamu termasuk Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid pada 14 Disember ini.

“Saya terkejut mendapat perhatian sebegini besar termasuk orang dari Kuala Lumpur. Perasaan saya agak gembira.

Bob berkata, dia perlu kembali semula ke HSB untuk rawatan susulan dua minggu lagi.

“Rutin ini akan berlangsung mengikut skala yang sama. Apabila keadaan saya semakin okay, rawatan susulan akan dijarakkan oleh doktor.

“Sehinggalah enam tahun akan datang, akan berlaku satu lagi pembedahan untuk menukar bateri alat ini.”

Kesan daripada pembedahan juga menyaksikan Bob tidak boleh mengubah posisi tidurnya.

“Saya menjalani prosedur CRTD iaitu kaedah memasukkan wayar dalam bahagian kiri dan kanan jantung yang akan menyeragamkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma normal.

“Kaedah ini adalah untuk menstabilkan denyutan jantung saya. Dalam beberapa bulan ini saya tak boleh angkat tangan dan hanya boleh pakai baju berbutang.

“Buat masa ini saya kena berhenti dulu daripada aktiviti dakwah, memasak dan memandu selama tiga bulan,” katanya.

Dalam masa sama, doktor menyarankan Bob agar kerap berjalan untuk mengekalkan kesihatannya.

Kos pembedahan Bob yang dianggarkan RM60,000 disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang prihatian dan membantu melancarkan urusan ini. Memang sangat tak sangka masalah saya mendapat perhatian banyak pihak,” katanya.

Sebelum ini Bob Lokman meluahkan rasa terharu apabila dikunjungi pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Ebit Lew tampil memberi sumbangan bagi membiayai kos pembedahan jantung penulis lirik 90-an dan pelakon, Bob Lokman.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

“Sayu rasa hati tadi dari pembukaan elewsmart terus terbang ke Kubang Kerian Kelantan ziarah Bob Lokman. Saya balik petang ini.”

Katanya, penulis lirik lagu Isabella itu melahirkan rasa terharu dengan kehadirannya dan mengalirkan air mata.

Selain banyak berbual tentang akhirat, Ebit berkata Bob juga sempat berpesan kepadanya agar terus membantu orang ramai.

“Ustaz, tolong sangat sampaikan pada semua andai saya pergi saya nak minta maaf pada semua.

“Saya sayang semua orang. Saya nak reda Allah,” kata Bob seperti dicatat Ebit di Facebook.

Bob sebelum ini memuat naik di media sosial meminta bantuan kos operasi pembedahan jantung sekitar RM60,000 akibat penyakit yang ditanggungnya sejak 2008.