Wanita Hamil Abai Tiga Anak Kandungnya, Didakwa Tinggal Selama 4 Bulan Tanpa Jagaan

Anak merupakan rezeki dan anugerah Tuhan yang diberikan kepada pasangan ibu bapa. Walau bagaimanapun, masih ada individu yang tidak bertanggungjawab memilih untuk mengabaikan anak-anak mereka.

Menerusi laporan Harian Metro, terdapat suatu kes baru-baru ini di mana seorang ibu hamil didakwa mengabaikan tiga orang anak kandungnya.

Seorang pembantu am sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka selepas didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya selama 4 bulan sehingga berisiko mendatangkan kecederaan pada tahun lalu.

Masanizah Roslan, 40, merupakan tertuduh kes berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Pertuduhan pertama, di mana tertuduh didakwa telah cuai meninggalkan tiga anaknya yang berusia 11 tahun, 8 tahun dan 6 tahun tanpa jagaan sesiapa seterusnya kemungkinan besar akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh pada 25 Mei sehingga 23 September 2021 di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap ketiga-tiga anak kandungnya itu di tempat yang sama pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021.

Difahamkan, kedua-dua pertuduhan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM 20,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelumnya, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang menjalankan pendakwaan itu telah menawarkan jaminan RM 10,000 bagi setiap pertuduhan yang telah dikenakan kepada si tertuduh itu.

Namun begitu, tertuduh yang sedang hamil dan tidak diwakili oleh mana-mana peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana mengalami alahan selain hanya menerima gaji bulanan yang kecil.

Sejurus itu, hakim memutuskan agar membenarkan ikat jamin tersebut dikurangkan kepada RM 7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes telah ditetapkan pada 12 September akan datang untuk melakukan serahan dokumen serta lantikan peguam bela.

Sekadar info, ketiga-tiga anak tertuduh pula merupakan hasil perkahwinan pertamanya dan kesemua anaknya itu kini dijaga oleh ibu saudara kepada bekas suaminya.